Ada orang melihat badminton sekadar hobi hujung minggu. Namun buat penyampai radio dan personaliti terkenal, Elly Arifin, sukan itu sudah lama menjadi ‘teman rapat’ yang memberi kepuasan luar biasa dalam hidupnya.
Di sebalik kesibukan di konti radio, pemilik nama Nurul Elyana Kamalul Arifin itu mengakui dirinya cukup obses dengan badminton sehingga pernah menjalani latihan bersama jurulatih demi memperbaiki teknik permainan.
“Saya seorang yang aktif bersukan sejak zaman sekolah lagi. Sewaktu di sekolah, saya aktif main badminton, bola jaring, silat, taekwondo sampai masuk pertandingan.
“Tetapi bila sudah meningkat dewasa, entah kenapa saya lebih tertarik kepada badminton. Sampai satu tahap sebelum bekerja di radio dulu, saya boleh main hampir setiap hari. Saya sampai belajar dengan seorang jurulatih untuk betulkan teknik bermain.
“Saya bukanlah mahu jadi atlet, tetapi saya mahu buat dengan betul apabila sudah meminati sesebuah hobi itu. Kita bukan sekadar pukul bulu tangkis saja. Kita mahu rasa kepuasan dan seronok ketika bermain badminton,” katanya kepada Pancaindera.
Bukan sekadar turun gelanggang untuk berpeluh, pengacara berusia 37 tahun itu juga sanggup melabur demi memastikan hobinya itu dilakukan dengan lebih serius.
“Ada satu raket yang saya beli, harganya hampir RM1,000. Masa beli itu memang terasa mahal, tetapi saya pejam mata sajalah sebab kita tahu raket mana yang sesuai dengan cara permainan kita.
“Bagi saya, kalau hendak menaik taraf diri dalam sesuatu hobi, memang kita kena sanggup melabur. Sukan badminton sebenarnya tidak mahal sangat. Ada saja raket bawah RM100 yang selesa untuk digunakan. Cuma bulu tangkis sekarang agak mahal.

“Tapi kalau main ramai-ramai dan kongsi bayar gelanggang, perbelanjaannya masih okay lagi. Sebab itu, saya rasa badminton antara hobi yang tidak terlalu membebankan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Elly percaya setiap sukan mempunyai kelebihan tersendiri. Namun badminton memberikan manfaat besar terhadap stamina dan fokus dirinya.
“Kalau silat mungkin lebih kepada kekuatan dan fokus, tapi badminton ini, ia bantu daya ketahanan dan stamina saya. Bukan itu sahaja, badminton juga melatih diri kita untuk berfikir dengan cepat untuk bertindak terutama ketika bermain.
“Apabila umur semakin meningkat, kita kena jaga stamina supaya badan sentiasa cergas untuk buat kerja harian. Sebab itu, saya memang sangat pentingkan bersukan,” katanya.
Bagaimanapun, Elly mendedahkan dia pernah mengalami masalah kecederaan lutut akibat aktif bersukan sejak muda.

“Lutut kiri saya sebenarnya pernah cedera ketika menyertai pertandingan silat dulu. Jadi, bila main badminton, saya kena berhati-hati sebab kadang-kadang boleh terkehel. Alhamdulillah, tidak teruk, saya juga sudah tahu cara kawal keadaan itu,” katanya.
Kekangan waktu bekerja menyebabkan penyampai radio itu tidak lagi menjalani latihan seperti dahulu. Namun jauh di sudut hati, dia masih menyimpan hasrat untuk kembali aktif di gelanggang.
“Saya memang terfikir mahu mula menjalani sesi latihan bersama jurulatih semula. Tetapi kerana kekangan masa dan badan cepat penat sebab kerja pagi dan perlu menjalani latihan pada waktu malam, mungkin saya akan mula lakukannya secara perlahan-lahan,” ujarnya.
Ditanya siapakah individu yang paling diidamkan untuk bergandingan dalam badminton, nama pemain beregu wanita negara, Pearly Tan, pantas meniti di bibirnya.
“Saya memang sangat meminati Pearly Tan. Saya suka tengok cara dia bermain dan kemahiran beliau sangat hebat. Walaupun kepakaran saya bermain badminton tidak setinggi beliau, dapat bermain dengan santai pun sudah cukup.
“Saya bukan mahu lawan beliau. Saya mahu bergu dengan dia atau kalau boleh, biarlah dia jadi jurulatih saya walaupun saya tidaklah pandai sangat main badminton.
“Dan jika pertandingan badminton antara selebriti Malaysia dan Indonesia, Tepok Bulu itu kembali dianjurkan, saya teringin untuk menjadi salah satu pesertanya,” tambahnya
Bukan itu sahaja, Elly turut mendedahkan, dia sudah lama menyimpan impian untuk membintangi drama atau filem bertemakan sukan itu suatu hari nanti.
“Kalau ada penerbit mahu cari pelakon yang boleh main badminton, tolonglah panggil saya. Sekarang ini banyak cerita sukan diterbitkan, tetapi kebanyakannya fokus kepada lelaki. Jadi, kalau ada naskhah yang mengetengahkan sukan badminton untuk perempuan, kenapa tidak saya cuba?” selorohnya.









