Kata Hati gabung cinta, humor dan realiti kehidupan - Utusan Malaysia

Kata Hati gabung cinta, humor dan realiti kehidupan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri perfileman tempatan bakal diserikan dengan kemunculan filem romantik komedi terbaharu berjudul Kata Hati, yang mengangkat kisah cinta antara seorang pelakon wanita popular dan pemandu e-hailing.

Filem terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn Bhd. itu menjanjikan gabungan elemen percintaan, humor dan realiti kehidupan moden dalam sebuah naskhah santai, namun sarat dengan emosi dan pengajaran.

Penerbitnya, Muhammad Bahir berkata, idea menghasilkan Kata Hati tercetus hasil pengalamannya bertemu ramai selebriti sepanjang bergiat dalam industri seni.

Menurutnya, mereka tertarik melihat perbezaan antara persona selebriti di hadapan kamera dengan kehidupan sebenar di sebalik dunia glamor.

“Kami mahu menghasilkan sebuah kisah yang memperlihatkan sisi lain kehidupan seorang selebriti, namun dalam masa sama mampu menghiburkan penonton menerusi jalan cerita yang dekat dengan realiti masyarakat,” katanya.

Filem arahan Nadiah Hamzah itu menampilkan barisan pelakon muda yang semakin meningkat naik seperti Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris sebagai teraju utama.

Mereka turut digandingkan bersama pelakon terkenal tanah air seperti Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman.

Lebih menarik, filem itu turut menampilkan kemunculan khas beberapa nama besar industri hiburan tempatan termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon.

Sementara itu, penerbit eksekutif, Juliana Foo berkata, Kata Hati hadir tepat pada masanya ketika penonton tempatan terlalu banyak disajikan dengan filem aksi dan seram.

Katanya, genre romantik komedi sudah lama tidak diketengahkan sedangkan masih ramai penonton merindui naskhah cinta yang ringan dan menghiburkan.

Kata Hati hadir sebagai sebuah ‘modern fairy tale’ dengan elemen ‘high-stakes romance’ yang mampu memberikan pengalaman manis dan istimewa kepada penonton di pawagam nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Nadiah berkata, filem berkenaan menjanjikan pelbagai emosi menerusi gabungan elemen romantik, komedi dan drama dalam sebuah penceritaan yang unik.

Menurutnya, selepas mengarahkan filem Motif yang lebih berat sebelum ini, beliau mahu tampil dengan karya yang lebih ringan dan dekat dengan penonton.

“Pemilihan Nia, Yusof dan Fazziq dibuat menerusi sesi uji bakat dan walaupun mereka masih baharu dalam dunia layar perak, kesungguhan serta komitmen mereka sepanjang penggambaran sangat mengagumkan,” katanya.

Beliau berharap Kata Hati mampu menyentuh emosi penonton menerusi kisah cinta yang dipaparkan.

“Saya mahu penonton hadir beramai-ramai untuk meraikan sebuah kisah cinta manusiawi yang penuh kejujuran. Filem ini bukan sahaja mengundang gelak ketawa, tetapi juga mampu menyentuh hati dan mengingatkan kita tentang manisnya bercinta,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN