“KAMI sekadar kawan.”
Itu ketegasan yang dilontarkan pelakon, Datuk Remy Ishak saat diminta menjelaskan hubungannya dengan pelakon Indonesia yang juga bintang filem Khadam, Aghniny Haque yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Semuanya bermula dengan komen emoji ‘love eyes’ di laman Threads yang dihantarkan Remy kepada Aghniny, membuatkan netizen tidak senang duduk.
Remy yang disoal tentang itu tenang menjawab. Baginya, komen sedemikian tidak harus menjadi isu sementelah dia dan Aghniny mempunyai hubungan yang baik seperti kebanyakan pelakon yang pernah bekerjasama dengannya.
“Bagi saya perkara itu tiada apa. Dan saya faham, komen itu ditulis di platform Threads, dimana ramai yang mencari salah.
“Kadang, apabila kita membalas mesej orang di media sosial, ia akan menimbulkan fitnah kerana masyarakat tidak mengetahui tujuannya.
“Itu masalahnya bila kita terjah sahaja. Saya dan Aghniny tiada hubungan istimewa. Malah kami balik dari penggambaran dalam kepenatan, justeru mahu tidur sahaja.
“Tak ada ruang langsung untuk menjalinkan hubungan cinta,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ujar remy, tiada ruang untuk dia menjalinkan hubungan istimewa dengan pelakon cantik itu malah isterinya, Eza Yusof juga maklum akan situasi berkenaan.
“Hubungan saya dengan Aghniny tidak harus dijadikan isu, malah komen saya di platform Threads milik Aghniny dibuat atas dasar kawan, tidak lebih daripada itu.
“Kami ada berhubung, bertukar-tukar mesej menerusi Instagram. Cuma kalau bertukar mesej di Threads itu, orang pandang lain.
“Di Threads ini orang mencari salah dan mereka hanya mahu menghentam sahaja,” katanya lagi.
Remy dalam pada itu memutuskan untuk keluar daripada Threads kerana merasakan platform berkenaan penuh toksik dan perbalahan.
“Semua bercerita masalah mereka di sana, ada yang bercerita masalah rumah tangga, karier dan tidak dilupakan masalah orang lain yang dibincangkan secara beramai-ramai.
“Saya membuka akaun Threads untuk mencari idea, tapi entah kenapa algorithm yang sampai kepada saya lebih bersifat gosip, tak ada yang membina. Jadi saya mengambil jalan untuk keluar dari platform itu,” kongsinya.

KHADAM
Tidak ramai tahu yang bahawasanya Remy beberapa kali menghadiri uji bakat anjuran Redcom, antaranya untuk filem Songlap dan Istanbul Aku Datang tetapi percubaan itu berakhir dengan kegagalan.
Namun pelakon ini tidak menukar kegagalannya kepada sesuatu yang negatif kerana dia tahu bahawa Redcom bersikap terlalu selektif, pemilihan pelakon berdasarkan kesesuaian watak, bukan populariti.
Jadi Remy menjadi orang yang paling gembira apabila dipilih sebagai Hero untuk filem seram, Khadam yang akan menemui penonton 11 Jun ini.
“Cerita Khadam ini sangat dekat dengan orang Melayu kerana Fazlina ini menulis skrip yang bersangkut paut dengan masyarakat.
“Dia menceritakan secara terperinci mengenai kewujudan khadam ini, Bagaimana ia boleh mengganggu keturunan seseorang itu dan cara untuk memutuskan gangguan.
“Cerita ini berlatarkan 1950-an, saya pula membawakan watak Awang iaitu seorang lelaki bertanggungjawab yang berbulan-bulan bekerja keras untuk membuka tanah bagi tujuan pertanian.
“Jadi saya gambarkan watak ini Awang seorang tipikal bapa yang bengis walaupun dia bertanggungjawab terhadap keluarga,” katanya.
Bercakap soal cabaran, Remy memaklumkan sukar untuk menghidupkan watak yang bengis memandangkan perlunya dia menjadi karakter itu setiap masa.
“Awang bukan seorang lelaki yang penyayang. Jadi untuk menghidupkannya saya perlu menjadi Awang itu selama mana saya berada di set penggambaran.
“Cabarannya adalah bukan semua orang faham keadaan itu. Saya percaya lakonan bukan dibuat-buat, harus jujur. Dan kejujuran itu harus hadir dari dalam.










