MCKINNEY: Pemain golf No.1 dunia, Scottie Scheffler mengakui kelebihan beraksi di halaman sendiri memberi suntikan moral terbaik ketika dia kembali mempertahankan kejuaraan CJ Cup Byron Nelson minggu ini.
Selepas melalui minggu mencabar di Kejohanan PGA di Aronimink, Scheffler menyifatkan kepulangan ke Texas sebagai peluang terbaik untuk kembali mencari rentak, lebih-lebih lagi dengan rutin hidupnya yang kini jauh berbeza selepas kelahiran anak keduanya, Mac lalu.
Tahun lalu, Scheffler mencipta dominasi luar biasa apabila menyamai rekod skor terendah 72 lubang Jelajah PGA sebelum menjuarai kejohanan itu dengan kelebihan lapan pukulan di TPC Craig Ranch.
Bagi pemain berusia 29 tahun itu, lokasi kejohanan yang hanya berada tidak jauh dari kediamannya memberi ruang untuk menjalani minggu yang lebih tenang dan teratur.
“Memang seronok dapat bermain di rumah sendiri, lebih-lebih lagi selepas tamat kejohanan besar.
“Saya dapat berehat pada Isnin, berlatih di padang tempatan dan suasananya lebih santai,” katanya.
Walaupun perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu, prestasi Scheffler tetap konsisten sepanjang musim 2026.
Tempat ke-14 di Aronimink minggu lalu menjadi penamat 25 terbaiknya yang ke-10 musim ini, selain sudah meraih satu gelaran di La Quinta serta tiga kali muncul naib juara termasuk di Masters.
“Saya anggap ini peluang terbaik untuk ‘reset’ permainan putting saya. Secara keseluruhan, saya rasa berada pada tahap yang baik. Musim ini sebenarnya saya bermain putting lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya. – AGENSI










