Bukan lelaki kaya, saya mahu seorang pemimpin keluarga - Adira Suhaimi - Utusan Malaysia

Bukan lelaki kaya, saya mahu seorang pemimpin keluarga – Adira Suhaimi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebalik populariti dan senyuman manis yang sentiasa menghiasi wajahnya, tentu sahaja, Adira Suhaimi turut menyimpan perjalanan hidup penuh warna yang bercampur aduk dengan kisah luka, kekuatan, air mata dan keberanian untuk bangkit semula.

Namun bagi dirinya, setiap ujian bukan alasan untuk rebah, sebaliknya menjadi titik penting yang membentuk dirinya hari ini. Ini kerana bagi Adira, hidup bukan tentang menyesali apa yang sudah berlalu, tetapi tentang bagaimana seseorang memilih untuk meneruskan langkah dengan lebih kuat dan matang.

Malah, dia mengakui, trauma perceraian yang pernah terjadi sebelum ini tidak menjadikannya serik untuk mencipta bahagia sendiri. Ia sebaliknya membuka ruang untuk dia lebih memahami makna kehidupan sebenar.

“Saya tidak berasa serik dengan hari-hari yang telah berlalu. Saya percaya setiap kejadian telah diaturkan oleh Allah sebagai proses untuk saya belajar menjadi individu dan ibu yang lebih baik. Saya mengambil segala-galanya dari sudut positif.

“Apa yang berlaku pada masa lalu adalah sebahagian daripada perjalanan hidup saya, manakala apa yang berlaku di hadapan adalah proses untuk saya teruskan kehidupan,” katanya penuh tenang.

Sebagai ibu tunggal, Adira mengakui dia tidak mempunyai banyak pilihan selain menjadi kuat. Dalam keadaan emosi anak-anak yang turut memerlukan perhatian, dia percaya seorang ibu tidak boleh menunjukkan kelemahan terlalu lama.

“Saya tidak mempunyai pilihan selain menjadi kuat demi emosi dan mental anak-anak. Saya percaya wujud ikatan emosi antara ibu dan anak; jika saya lemah, anak-anak juga akan terkesan. Oleh itu, saya harus sentiasa positif dan kuat demi menguruskan keluarga. Pengalaman ini akhirnya menjadikan saya seorang yang benar-benar kuat,” ujarnya.

Bagaimanapun, di sebalik kata kuat itu, jangan kita semua lupa bahawa Adira tetap seorang wanita biasa yang mengimpikan ketenangan, kasih sayang dan perlindungan daripada seorang lelaki yang benar-benar memahami dirinya.

“Sebagai wanita, saya juga teringin untuk berasa dilindungi dan disayangi. Namun, kerana sudah terbiasa berdikari, rasa selamat dan dilindungi itu dianggap sebagai satu bonus. Apa yang lebih penting bagi saya sekarang adalah seorang pemimpin yang boleh membimbing dan menegur saya sekiranya saya tersasar.

“Saya memerlukan sistem sokongan yang matang dan mampu membuat keputusan, memandangkan selama ini saya telah terbiasa membuat keputusan sendiri untuk diri dan anak-anak,” katanya.

Menariknya, Adira tidak pernah meletakkan kemewahan sebagai syarat utama dalam memilih pasangan. Baginya, kekayaan boleh dicari bersama, tetapi nilai seorang lelaki sebagai pemimpin dan pelindung jauh lebih penting.

“Saya tidak memerlukan lelaki yang kaya raya kerana harta boleh dicari bersama. Yang penting, dia mestilah seorang pemimpin yang baik dan boleh menerima latar belakang saya serta keempat-empat anak saya,” katanya berterus-terang.

Menyentuh soal hati dan kehadiran insan istimewa dalam hidupnya sebagaimana yang dikhabarkan ramai ketika ini, Adira memilih untuk tidak terlalu terbuka.

Bukan kerana mahu berahsia, tetapi kerana baginya, perkara yang masih belum pasti tidak perlu terlalu dibesarkan.

“Saya sebenarnya tidak merancang atau memikirkan tentang mencari teman hidup kerana fokus utama saya adalah untuk membesarkan anak-anak. Namun, kita tidak dapat menolak takdir jika bertemu dengan seseorang yang ikhlas mahu mengenali kita.

“Saya tidak mahu menafikan mahupun mengiyakan perkara ini, saya cuma memohon doa yang baik-baik daripada semua orang untuk diri saya, anak-anak, kerjaya, dan jodoh. Tetapi, saya akui, apabila saya bercinta, memang saya tidak bermain-main,” katanya.

Akui Adira, lelaki yang sedang dikenalinya kini merupakan lebih matang daripadanya dan berstatus bujang. Hubungan mereka juga masih berada pada fasa awal perkenalan dan belum sampai ke tahap untuk membuat keputusan besar.

“Saya sudah bersedia untuk membuka lembaran baharu. Walaupun bukan mudah untuk membuka hati semula, saya percaya jika kita bertemu dengan orang yang tepat, perkara itu akan berlaku secara semula jadi tanpa dipaksa. Saya tidak pernah sengaja mencari jodoh, tetapi saya tidak menolak jika ia datang. Masa lalu tidak boleh diubah, jadi fokus saya sekarang adalah untuk masa hadapan,” katanya lagi.

Lagu tiada kaitan peribadi 

Dalam perkembangan kerjaya pula, tahun ini menjadi antara fasa paling manis buat Adira apabila single terbarunya, Sayang Orang Sama, menerima sambutan luar biasa daripada pendengar.

Lagu tersebut bukan sahaja tular, malah dianggap sebagai pembuka rezeki dan simbol ‘comeback’ istimewa buat dirinya.

Walaupun ramai cuba mengaitkan judul lagu itu dengan kisah hidup peribadinya, kata Adira lagu tersebut langsung tidak mempunyai kaitan dengan dirinya.

“Tajuknya memang menarik dan seakan-akan berkaitan dengan kisah kehidupan. Namun, saya ingin menegaskan bahawa lagu tersebut sebenarnya tidak mempunyai kaitan dengan hidup saya. Saya menafikan perkara itu sekeras-kerasnya kerana lagu tersebut dicipta khusus untuk sebuah drama. Lagu itu hanya berkaitan dengan jalan cerita drama tersebut dan bukan mengenai hidup saya.

“Namun begitu, hak pendengar sekiranya mereka mahu mengaitkan lagu tersebut dengan kisah atau kehidupan mereka sendiri, malah mungkin ada yang mengaitkannya dengan cerita saya. Saya tidak berkecil hati dan sangat terbuka dengan apa sahaja komen serta pandangan orang ramai. Semua itu sedikit sebanyak membantu menaikkan populariti lagu tersebut,” jelasnya.

Selain kerjaya seni, Adira juga memberi perhatian besar terhadap perkembangan anak sulungnya, Anggerik, yang mula menunjukkan minat mendalam dalam bidang hiburan terutama apabila menyertai program Talk To My Manager (TTMM) musim kedua kini.

Sebagai ibu, dia percaya bakat perlu diasah sejak awal dan pengalaman sebenar jauh lebih berharga daripada sekadar minat yang dipendam.

“Sebelum ini, saya telah menghantarnya ke kelas lakonan, peragaan, tarian, dan nyanyian. Saya berasa rugi jika tidak mendedahkannya kepada pengalaman yang sebenar. Sebelum membenarkannya menyertai TTMM, saya telah berfikir panjang dan bertanya kepada Anggerik sendiri.

“Apabila dia menyatakan minat, saya memberikan sokongan selagi ia tidak memudaratkan atau mengganggu pelajarannya.Saya menekankan kepadanya bahawa tujuan penyertaan ini bukanlah untuk bersaing atau menang semata-mata, tetapi untuk memberi pendedahan di atas pentas serta mengajarnya cara membawa diri dan cara kerja dalam industri,” katanya.

Pada masa sama, Adira percaya, ibu bapa masa kini perlu menjadi pendengar yang baik dan memahami dunia anak-anak, bukan sekadar mengarah tanpa memahami jiwa mereka.

“Saya percaya bahawa ibu bapa harus memahami minat anak-anak, tidak kira dalam bidang apa sekalipun. Dalam corak keibubapaan zaman sekarang, kita perlu sentiasa memahami dan menjadi pendengar yang baik kepada anak. Ada masanya kita menjadi kawan, dan ada masanya kita menjadi ibu bapa.

“Saya mahu dia berasa selesa untuk meluahkan apa sahaja kepada saya supaya dia tidak tertekan atau tidak gembira. Jika ada perkara yang salah, kita tetap perlu menegurnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN