MIAMI: Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton berharap mampu memberikan keputusan yang positif buat pasukannya dalam saingan Grand Prix (GP) Miami.
Ferrari membawa pakej naik taraf ke Miami dan memulakan hujung minggu dengan agak baik apabila Charles Leclerc mendahului satu-satunya sesi latihan sebelum prestasi baiknya diteruskan pada peringkat awal kelayakan sprint.
Namun, cabaran Ferrari merosot pada saat paling penting dalam SQ3, dengan Leclerc ketinggalan hampir empat persepuluh saat di tempat keempat.
Hamilton pula hanya mampu menduduki tempat ketujuh dengan Ferrari yang satu lagi, kira-kira tiga persepuluh saat di belakang rakan sepasukannya.
Selepas kelayakan sprint, juara dunia tujuh kali itu mengeluhkan dengan prestasi jentera SF-26 miliknya.
“Kami sebenarnya tidak tahu apa yang boleh dijangkakan. Saya berharap ia akan menjadi lebih baik, tetapi kereta itu tidak terasa begitu bagus,” kata Hamilton.
Apabila ditanya sama ada pasukan menjangkakan naik taraf itu berfungsi dengan lebih baik, pelumba Britain berusia 41 tahun itu berkata, dia juga tidak pasti.
“Saya tidak pasti. Saya fikir kami akan lebih kuat daripada apa yang ditunjukkan hari ini. Kami perlu bekerja semalaman untuk memahami kenapa kami tidak cukup laju.
“Saya datang ke sini dengan harapan tinggi, positif bahawa kami akan berada lebih ke hadapan, tetapi nampaknya tidak menjadi,” katanya.
Leclerc pula berkata, Ferrari perlu menyiasat kenapa mereka menghadapi masalah kelajuan selepas bertukar kepada tayar lembut untuk sesi penentuan petak utama, walaupun mereka kuat menggunakan tayar sederhana.
“Naik taraf itu sebenarnya baik, cuma semua pasukan juga membawa naik taraf.
“Kami memang menjangkakan situasi di mana Mercedes mungkin masih kereta yang perlu ditewaskan. McLaren pula membuat peningkatan besar. Saya rasa mereka sebelum ini belum memaksimumkan potensi dalam beberapa perlumbaan awal musim. Mereka sentiasa ada, tetapi tidak menyatukan semuanya.
“Bagi pihak kami, hari ini khususnya kami bergelut dengan tayar. Tayar sederhana berfungsi dengan sangat baik, tetapi tayar lembut tidak memberikan rasa yang baik. Jadi kami perlu menelitinya,” katanya.-AGENSI










