PETALING JAYA: Bahang ‘Naning Derby’ kembali memuncak apabila Negeri Sembilan FC (NSFC) bersiap sedia menerima kunjungan Melaka FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman,Paroi, malam ini.
Lebih daripada sekadar pertembungan seteru tradisi, skuad Jang membawa tekad menebus kekalahan 0-2 pada pusingan pertama di Stadium Hang Jebat.
Ketua Jurulatih Interim, K. Rajan, menegaskan perlawanan ini adalah pentas terbaik untuk ‘membayar balik’ kekalahan lalu, selain memastikan episod duka itu tidak berulang.
“Ini bukan sekadar perlawanan biasa. Kami turun dengan satu tekad iaitu tuntut semula mata yang hilang dan pastikan tiga mata kekal di Paroi,” tegasnya.
Prestasi semasa menyaksikan mereka tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir, sekali gus menjadi petanda kebangkitan yang semakin meyakinkan.
Rajan turut memuji komitmen tinggi pemain serta barisan kejurulatihan yang menjadi tulang belakang kepada peningkatan prestasi pasukan sejak kebelakangan ini.
Rajan memaklumkan pasukan telah melakukan analisis terperinci serta pembetulan menyeluruh sepanjang minggu selepas diikat Terengganu FC 2-2 dalam aksi terakhir.
“Kami sudah kenal pasti kelemahan dan perbaiki. Semangat juang pemain bangkit hingga seri 2-2 tempoh hari adalah petanda positif yang kami bawa ke perlawanan ini,” katanya.
Ketiadaan tonggak utama, Luqman yang masih dibelenggu kecederaan panjang, tidak meresahkan kem NSFC.
Rajan yakin pemain sedia ada mampu menggalas tanggungjawab, seperti yang telah dibuktikan dalam aksi terdahulu.
Dengan kedudukan liga yang semakin sengit, kemenangan dalam derbi ini bukan sekadar soal maruah, tetapi juga tiket penting untuk NSFC melonjak ke kelompok enam terbaik.
KAPSYEN: K. Rajan (Dua dari kiri) ketika mengendalikan sesi latihan Negeri Sembilan FC bagi persiapan mementang Melaka FC, malam ini.-IHSAN NSFC










