- Utusan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Empat tahun mendirikan rumah tangga, pelakon, Hanna Aqeela mengakui kehidupannya selepas bergelar isteri banyak mengubah caranya mengatur perjalanan kerjaya seni.

Namun, status sebagai wanita berkahwin tidak pernah menjadi penghalang untuk pemilik nama, Hanna Aqeela Mohd Rosni ini terus aktif dalam industri lakonan sehingga hari ini.

Menurut Hanna, dia masih lagi menerima tawaran, tetapi kini lebih selesa memilih jadual kerja yang tidak terlalu padat agar dapat memberi keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi.

“Sebenarnya saya sudah hampir empat tahun berkahwin. Alhamdulillah, tawaran itu masih ada. Tidak pernah putus pun, cuma sekarang saya pilih naskhah yang tidak memerlukan tempoh penggambaran yang panjang.

“Saya juga lebih selesa kalau kerja itu boleh memberi keseimbangan masa untuk saya berehat dan menjalani sesi penggambaran.

“Kalau ada karya yang sesuai, saya okey saja untuk terima. Asalkan karya itu bertepatan dengan apa yang saya boleh bawa, sama ada daripada segi masa ataupun skrip,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengakui tidak terlalu memilih watak, pelakon berusia 36 tahun itu bersyukur apabila suaminya, Muhammad Farid Sakri tidak meletakkan batasan untuk dirinya terus berkarya dan memahami tuntutan kerjayanya sebagai seorang anak seni.

“Kalau saya rasa karakter itu tidak sesuai dengan diri saya sebagai wanita berkahwin, itu mungkin sedikit kekanganlah. Tetapi selain itu, saya tidaklah terlalu memilih.

“Alhamdulillah, suami saya juga tidak pernah meletakkan sebarang batasan. Tetapi dia tahu saya sendiri faham dan tahu bagaimana untuk menjaga batasan itu.

“Kalau saya sendiri rasa sesuatu perkara itu tak elok, mestilah pada dia pun tak elok juga. Dia bagi saya terus berkarya asalkan saya jaga nama sendiri, dia dan keluarga,” jelasnya.

Belum Dikurniakan Zuriat Bukan Tekanan

Bakal membintangi drama Emak, Hanna yang menjayakan watak seorang isteri yang mengalami kesukaran untuk hamil mengakui memahami perasaan wanita yang berdepan tekanan untuk mendapatkan cahaya mata.

Menurut Hanna, pengalaman peribadinya itu turut membantu dirinya menghidupkan watak Mariam dalam drama lakonannya yang juga berdepan isu sama.

“Dalam naskhah tersebut, watak Mariam sudah tiga tahun berkahwin tetapi masih belum mempunyai anak.

“Saya sendiri pun sama, sudah hampir empat tahun berkahwin dan masih belum dikurniakan zuriat. Jadi bila bawa watak itu, saya lebih mudah untuk beri rasa sebab saya sendiri melalui pengalaman yang hampir sama,” katanya.

Hanna bagaimanapun memilih untuk tidak terlalu memikirkan soal tersebut dan percaya setiap pasangan mempunyai rezeki masing-masing.

“Secara peribadi saya tak terlalu memikirkan perkara itu. Bagi saya kalau ada rezeki, adalah. Sebelum ini saya dan suami menjalani hubungan jarak jauh, jadi mungkin itu salah satu penyebabnya.

“Tetapi sekarang dia sudah balik dan kami sama-sama sedang berusaha,” katanya.

Dalam pada itu, Hanna bersyukur kerana keluarga kedua-dua belah pihak juga tidak pernah memberi sebarang tekanan berkaitan soal zuriat.

“Saya lega apabila keluarga tidak pernah beri tekanan. Adik-beradik saya semua sudah ada anak, jadi cucu mereka memang sudah ramai. Mak mentua dan ibu saya sendiri pun okey saja. 

“Kalau ada pun orang luar yang bertanya bila nak ada anak, keluarga saya sebenarnya lebih ramai yang membela saya. Jadi saya bersyukur sebab tak ada tekanan dan tak stres dengan perkara itu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN