Tubuh Sekolah Pendidikan Khas, perjuangan Ahmad Idham belum berakhir - Utusan Malaysia

Tubuh Sekolah Pendidikan Khas, perjuangan Ahmad Idham belum berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bermula dengan pengalaman peribadi sebagai bapa kepada anak istimewa, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengambil langkah berani menubuhkan sebuah sekolah pendidikan khas yang kini telah beroperasi lebih sedekad.

Didorong oleh kelemahan sistem sedia ada pada ketika itu, pengarah prolifik ini bukan sahaja memberi pendekatan pendidikan dari luar negara, malah memperkenalkan model integrasi yang menggabungkan terapi dan pembelajaran dalam satu sistem.

Hari ini, perjuangannya terus berkembang dengan satu matlamat dalam memastikan tiada lagi anak istimewa yang terlepas peluang untuk berkembang seawal usia tiga tahun di Sekolah Pendidikan Khas yang diberi nama Eden Firdaus School.

“Sekitar 2014, saya pernah meninggalkan industri hiburan buat seketika dan berhijrah ke Johor. Ketika itu saya dan isteri nekad untuk fokus kepada anak kami, Ahmad Firdaus yang ketika itu berumur lebih kurang 13 tahun.

“Kami berhijrah ke Johor pada ketika itu kerana ingin menghantar anak kami ke sebuah sekolah pendidikan khas yang terkemuka di Singapura, Saint Claire selepas disarankan oleh doktor pakar yang merawat anak kami di sini.

“Selepas dua tahun, apabila keadaan nampak stabil, tiba-tiba nilai mata wang Singapura melonjak tinggi. Jadi, kos sara hidup di sana semakin tinggi. Sebagai bapa yang mempunyai anak-anak lain yang masih belajar, ketika itu perlu fikir jalan penyelesaiannya.

“Jadi, saya terfikir untuk membuka sebuah sekolah pendidikan khas yang modul pembelajarannya sama dengan sekolah di Singapura itu memandangkan isteri saya juga mempunyai kelulusan pendidikan awal kanak-kanak,” katanya kepada Pancaindera.

Berbeza dengan institusi pendidikan lain, sekolah yang ditubuhkan oleh penerbit berusia 52 tahun itu menggabungkan pendidikan dan terapi di bawah satu bumbung.

“Kemudian, kami cuba bawa masuk sistem yang diiktiraf antara terbaik di dunia itu. Pihak sekolah di Singapura itu juga berhasrat untuk berkembang, cuma mereka mencari rakan yang sesuai.

“Mereka cadangkan supaya dibuka di Kuala Lumpur. Jadi, saya pun kembali ke Kuala Lumpur sekitar 2014 dan mula beroperasi sekitar 2015 atau 2016. Sekolah saya menjadi antara yang terawal di Malaysia yang mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan.

“Proses mendapatkan lesen bukan mudah. Hampir setahun juga untuk mendapat kepercayaan dan kelulusan. Namun, Kementerian Pendidikan banyak membantu terutama dalam membawa masuk modul pendidikan dari sekolah di Singapura tersebut,” kongsinya.

Mengakui perjuangannya masih belum berakhir, Ahmad Idham mengakui tidak mudah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat terutama golongan ibu bapa tentang kepentingan menghantar kanak-kanak ke sekolah khas tersebut demi mendapatkan bantuan pada peringkat awal.

“Cabaran terbesar sampai hari ini adalah kesedaran dan pemahaman ibu bapa. Penafian itu satu perkara. Kalau tidak dalam penafian, persoalannya mereka faham atau mampu ke tidak?

“Tetapi ada juga yang mampu, tetapi tidak mahu hantar. Ada juga ibu bapa yang hanya sedar apabila keadaan anak sudah semakin teruk. Ketika itu barulah mereka panik dan datang semula untuk mencari bantuan. Sedangkan umur 3 hingga 6 tahun adalah tempoh paling kritikal untuk perkembangan otak anak. Kalau lewat, masalah akan jadi lebih besar.

“Salah satu perkara yang memberi semangat ialah apabila Timbalan Perdana Menteri mengumumkan penubuhan sekolah autism di setiap daerah. Sekurang-kurangnya ada pemimpin yang mula memberi perhatian serius,” katanya.

Berkongsi tentang masalah perkembangan kanak-kanak istimewa, Ahmad Idham menjelaskan, ia bukan tertumpu pada masalah Autisme semata, ada juga penyakit lain seperti Global Developmental Delay (GDD), Down Syndrome, Cerebral Palsy dan banyak lagi.

Demi memecahkan stigma sesetengah ibu bapa mengenai sekolah pendidikan khas, pengarah itu menasihatkan agar orang ramai mula mengambil tahu tentang kepentingan untuk menghantar anak-anak ke institusi sedemikian sebelum terlambat.

“Ibu bapa boleh berada dalam penafian untuk sementara waktu, tetapi tidak selamanya. Fakta, tetap fakta. Akan tiba satu masa di mana mereka perlu menerima dan mencari bantuan.

“Jika tidak, keadaan anak akan menjadi lebih sukar. Ramai juga ibu bapa tidak faham perbezaan antara pendidikan khas dan terapi.

“Sebab itu, kami gabungkan kedua-duanya setara dengan tadika biasa supaya ibu bapa tidak perlu fikir terlalu banyak. Jangan malas mencari ilmu. Bertindak awal sebelum terlambat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN