WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad meletakkan Israel lebih tinggi berbanding sekutu-sekutu lain yang tidak dinamakan, dalam satu paparan jelas dasar perikatan yang bersifat keutamaan.
Dalam satu kenyataan di platform Truth Social miliknya, beliau membandingkan apa yang disifatkannya sebagai keberanian Israel di medan perang dengan pihak lain yang menurutnya telah mengecewakan Washington pada saat konflik dan tekanan.
“Walau apa pun pendapat orang terhadap Israel, mereka telah membuktikan diri sebagai sekutu yang hebat bagi Amerika.
“Mereka berani, tegas, setia. bijak dan tidak seperti yang lain yang telah menunjukkan warna sebenar mereka pada saat konflik dan tekanan. Israel berjuang dengan kuat dan tahu bagaimana untuk menang!” tulis Trump.
Walaupun Trump tidak menyebut negara-negara yang dikritiknya secara langsung, kenyataan itu dibuat ketika beliau meningkatkan tekanan awam terhadap sekutu tradisional AS.
Awal bulan ini, Trump menyeru sekutu Eropah supaya membangunkan sedikit keberanian yang tertangguh dan membantu Washington dalam membuka semula Selat Hormuz selepas Iran mengenakan semula apa yang dipanggilnya kawalan ketat ke atas laluan laut tersebut.
Dalam satu hantaran berasingan pada hari sama, Trump menyerang secara langsung Sepanyol, yang perdana menterinya, Pedro Sánchez, antara pengkritik paling lantang terhadap perang Iran.
Trump mendakwa angka kewangan Sepanyol sangat teruk, satu sindiran walaupun ekonomi Sepanyol berkembang lebih pantas berbanding AS pada tahun lalu.
“Adakah sesiapa melihat betapa buruknya keadaan negara Sepanyol? Angka kewangan mereka, walaupun hampir tidak menyumbang kepada NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dan pertahanan ketenteraan mereka, adalah sangat teruk. Sungguh menyedihkan untuk dilihat!!!” tulis Trump.
Britain turut menjadi sasaran kritikan Trump.
Presiden itu berulang kali mengkritik Perdana Menteri Britain Keir Starmer, dengan menyifatkannya sebagai bukan Winston Churchill.
Churchill ialah perdana menteri pada era Perang Dunia Kedua semasa Jerman kalah kepada pasukan Bersekutu disertai Britain, AS dan Kesatuan Soviet yang telah dibubarkan dan kini dikenali sebagai Russia. – AGENSI










