Racun tikus ditemukan dalam bekas makanan bayi - Utusan Malaysia

Racun tikus ditemukan dalam bekas makanan bayi

GAMBAR fail seekor tikus. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VIENNA: Polis Austria menyatakan pada Sabtu bahawa racun tikus ditemukan dalam satu bekas makanan bayi dalam siasatan yang menyaksikan pihak pembekal menarik balik produk tersebut susulan disyaki berlaku pencemaran.

Jenama HiPP yang berpangkalan di Jerman mengumumkan penarikan balik di pasar raya SPAR di Austria lewat Jumaat berikutan kemungkinan bahan berbahaya dimasukkan ke dalam bekas tersebut disyaki perbuatan khianat.

Sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan di Jerman, polis telah merampas bekas produk itu di Austria, Republik Czech dan Slovakia, menurut polis di wilayah Burgenland di timur Austria dalam satu kenyataan.

“Sampel produk yang dirampas telah diperiksa pada petang Sabtu dan didapati positif mengandungi racun tikus,” kata mereka.

Agensi perlindungan makanan Austria berkata pada Sabtu bahawa racun tikus itu mungkin dimasukkan sebagai sebahagian daripada skim ugutan.

Pengguna-pengguna diminta supaya tidak memakan produk tersebut, yang boleh dikenal pasti melalui label putih dengan bulatan merah di bahagian bawah bekas produk tersebut, sebaliknya memulangkannya ke kedai tempat ia dibeli.

Insiden ini merupakan yang terbaru melanda pasaran makanan bayi.

Sejak Disember, beberapa pengeluar seperti Nestle, Danone dan Lactalis telah mengeluarkan notis penarikan balik susu formula bayi di lebih 60 negara kerana kemungkinan tercemar dengan toksin cereulide.

Beberapa bayi yang mengambil susu tepung mengandungi cereulide boleh menyebabkan loya, muntah dan cirit-birit telah meninggal dunia, menurut pihak berkuasa Perancis.

Pendakwa raya Perancis berkata pada Mac bahawa kematian seorang bayi pada Januari tidak kelihatan berkaitan dengan pengambilan susu formula yang tercemar. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN