MADINAH: Persiapan pembukaan Operasi Haji Madinah bagi musim 1447H berjalan lancar dan kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh untuk menerima jemaah haji Malaysia secara berperingkat.
Seramai 75 petugas telah tiba lebih awal di Madinah pada 12 April lalu bagi memulakan gerak kerja operasi serta menyelaras segala keperluan menjelang ketibaan kumpulan pertama jemaah.
Tabung Haji (TH) berkata, pasukan berkenaan diketuai Naib Konsul Haji merangkap Pengarah Operasi Madinah, Tuan Haji Affandi Abdullah.
“Daripada jumlah itu, seramai 40 orang merupakan petugas kebajikan manakala 35 lagi terdiri daripada petugas perubatan yang akan memastikan aspek kebajikan dan kesihatan jemaah sentiasa terpelihara sepanjang berada di Madinah,” kata TH dalam kenyataan.
Dalam pada itu, TH berkata, penempatan jemaah haji Malaysia di Madinah melibatkan tiga zon penginapan utama iaitu Hotel Emaar Royal bagi Zon 1, Hotel Anwar Al Madinah Movenpick bagi Zon 2 dan Hotel Emaar Elite bagi Zon 3.
“Hotel Emaar Elite yang merupakan bangunan baharu terletak kira-kira 150 meter dari Masjid Nabawi, sekali gus memberi kemudahan kepada jemaah untuk berulang-alik menunaikan ibadah,” katanya.
Sementara itu, Pusat Pentadbiran Operasi Madinah kini beroperasi di lokasi baharu iaitu Hotel Zaha Taiba.
Kedudukan bangunan itu yang berhampiran Masjid Nabawi serta dilengkapi kemudahan moden termasuk dapur dan restoran yang lebih selesa dijangka mampu meningkatkan kecekapan pengurusan operasi musim ini.
“Bangunan pentadbiran tersebut menempatkan pelbagai unit penting antaranya Pejabat Pengarah Operasi Madinah, Pejabat Operasi Perubatan, Unit Pentadbiran, Bilik Maklumat Operasi, Unit Alokasi, Unit Pengendalian, Unit Kewangan serta Unit Pengelola Jemaah Haji (PJH),” katanya.
TH berkata, dengan kemudahan lebih lengkap serta lokasi strategik, operasi Haji Madinah 1447H dijangka dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan teratur, seterusnya memastikan kebajikan serta keselesaan jemaah haji Malaysia. – UTUSAN










