Selepas mencetuskan fenomena global menerusi lagu ‘Casablanca’, penyanyi dan penulis lagu popular, Nuha Bahrin, kembali mengubat rindu peminat dengan pelancaran single terbaharu berjudul ‘Malam-Malam’.
Karya kali ini menyaksikan Nuha menjalin kolaborasi istimewa bersama komposer berpengaruh, Ezra Kong, di bawah projek kreatif terbaharunya yang dikenali sebagai mimpi.
Uniknya, ‘Malam-Malam’ membawakan eksperimen berani dengan menggabungkan elemen bunyi Arab dan Sepanyol yang diadun kemas bersama sentuhan pop Melayu moden, sekali gus menjanjikan pengalaman audio yang cukup memikat jiwa.
Menurut Nuha, lagu ini menceritakan tentang perasaan rindu yang mendalam terhadap seseorang yang jauh, di mana memori indah yang pernah dikongsi kini hanya tinggal kenangan di bawah cahaya bulan.

“Ini kali kedua saya bekerjasama dengan Ezra Kong. Proses ini sangat membuka ruang untuk saya meneroka perkara baharu dan belajar untuk keluar dari zon selesa.
“Gabungan bunyi dalam lagu ini sangat berani. Saya rasa amat berbesar hati dapat menjadi suara bagi karya yang cukup indah ini,” katanya yang menyifatkan bulan sebagai simbolik kepada detik waktu yang tidak dapat diulang.
Nuha turut berharap agar ‘Malam-Malam’ dapat menjadi ‘teman’ buat pendengar yang sedang melalui fasa kesunyian atau merindui insan tersayang.
Lagu terbitan Universal Music Malaysia ini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 24 April 2026.










