KUALA LUMPUR: Pelakon, Sara Ali meluahkan rasa syukur dan terharu apabila menerima pelbagai reaksi positif daripada penonton yang menyaksikan filem Libang Libu.
Menurut Sara, antara perkara yang paling menyentuh hatinya adalah apabila membaca ulasan penonton yang berkongsi pengalaman mereka menonton filem tersebut bersama insan tersayang.
“ Saya sangat suka membaca rebiu orang yang berkongsi pengalaman mereka ketika menonton Libang Libu di pawagam. Ada anak yang membawa ibu dan ayah mereka yang sudah lama tidak menjejakkan kaki ke wayang, dan mereka benar-benar menikmati filem ini bersama.
“Ada juga yang bercerita tentang seorang abang di barisan belakang yang ketawa sampai terpaksa menutup mulut kerana merasakan dirinya paling bising dalam dewan. Perkara-perkara kecil seperti ini sebenarnya sangat besar maknanya buat kami,” katanya di Threads.
Tambah Sara, ada juga penonton yang mengakui mereka pulang dengan perasaan gembira selepas menonton filem itu sehingga seketika melupakan segala masalah kehidupan.
Lebih mengharukan, katanya, apabila seorang isteri berkongsi bahawa suaminya yang selama ini tidak gemar menonton filem tempatan akhirnya menikmati Libang Libu dan berubah pandangan terhadap karya tempatan.
“Apabila ada isteri yang bercerita suaminya memang jenis yang tidak menonton filem tempatan, tetapi selepas menonton Libang Libu, dia sendiri terkejut apabila suaminya benar-benar menikmati cerita Melayu, itu sesuatu yang sangat istimewa.
“Bagi saya, momen seperti ini sangat jarang berlaku. Kali terakhir saya benar-benar merasakan fenomena seperti ini adalah ketika filem Mat Kilau, dan sebelum itu pada zaman filem-filem Allahyarham Mamat Khalid,” ujarnya.
Sara turut merakamkan penghargaan kepada semua penonton yang memilih Libang Libu sebagai ruang untuk mencipta kenangan bahagia bersama keluarga dan insan tersayang.
“Saya cuma ingin mengucapkan terima kasih kepada semua. Di atas setiap momen yang anda kongsikan, kami benar-benar terharu kerana anda meluangkan masa dan memilih Libang Libu sebagai platform untuk mencipta saat-saat bahagia bersama.
“Secara jujurnya, perkara-perkara seperti inilah yang membuatkan saya sebagai seorang pelakon merasakan apa yang saya lakukan ini benar-benar bermakna,” katanya.










