Mimifly galas cabaran wakili negara ke pentas serantau - Utusan Malaysia

Mimifly galas cabaran wakili negara ke pentas serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi Mimifly terus mengorak langkah dalam kerjaya seninya apabila diberi kepercayaan mewakili Malaysia ke Festival Muzik ASEAN-Korea 2026 (ROUND) yang akan berlangsung di Filipina pada 18 dan 19 April ini

Pemilihan itu hadir susulan kejayaan persembahannya yang mendapat pujian ramai ketika menjayakan acara penutupan Sukan SEA 2025 di Stadium Rajamangala, Bangkok, Disember lalu.

Mimifly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham berkata, peluang berkenaan membuka ruang luas untuknya membawa muzik tempatan ke pentas lebih besar, sekali gus memperkenalkan identiti Malaysia kepada khalayak antarabangsa.

“Kalau saya kata saya sedang menjalani ‘dream life’, memang itulah yang saya rasa sekarang. Saya masih mengajar sebagai cikgu tari, mengurus studio bersama Atilia, selain aktif membuat persembahan.

“Dalam masa tiga minggu lagi saya akan ke Filipina, membawa nama Malaysia ke Festival ROUND. Ini satu peluang yang sangat bermakna buat saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert For You Nourul di sini, semalam.

Menurutnya, dia kini giat melakukan persiapan rapi bagi memastikan persembahannya bersama barisan artis Asia Tenggara lain dapat memberikan impak terbaik.

“Pasukan saya juga semakin berkembang. Kami bukan sahaja membuat persembahan di dalam negara, malah sudah ke Bangkok dan Vietnam, dan selepas ini ke Filipina pula.

“Saya mahu fokus pada apa yang perlu saya usahakan sementara saya masih bertenaga,” katanya.

Festival ROUND 2026 yang dianjurkan oleh KBS World dengan kerjasama negara ASEAN menghimpunkan penggiat muzik dari 10 negara bagi berkongsi karya masing-masing kepada penonton global.

Mengulas lanjut, Mimifly berkata, pemilihannya itu mengikuti jejak artis tempatan seperti Dolla dan Marsha Milan yang pernah mewakili Malaysia dalam edisi terdahulu festival berkenaan.

“Tahun ini saya seorang sahaja dipilih mewakili Malaysia. Cabarannya, saya bukan di bawah mana-mana label kerana bergerak sebagai artis bebas (indie).

“Jadi saya perlu menguruskan semuanya sendiri, tetapi saya tidak melihatnya sebagai tekanan. Saya mahu menikmatinya dan memberikan yang terbaik,” katanya yang dijadualkan membuat persembahan selama 25 minit.

Dalam perkembangan sama, Mimifly turut terpilih sebagai artis jemputan bagi menjayakan konsert For You Nourul yang akan berlangsung pada 30 Mei depan di Zepp Kuala Lumpur.

Katanya, pelawaan daripada Nourul amat bermakna kerana beliau merupakan antara penyanyi yang menjadi idolanya sejak kecil.

“Saya membesar dengan lagu-lagu Kak Nourul. Bila dia ajak, saya terus setuju, apatah lagi selepas tarikh konsert diubah dan sesuai dengan jadual saya,” katanya.

Terdahulu, konsert berkenaan dijadualkan berlangsung pada 17 April 2026 sebelum ditunda ke 30 Mei tahun sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN