Malaysia perlu bersedia kemungkinan peningkatan kos bahan api - Utusan Malaysia

Malaysia perlu bersedia kemungkinan peningkatan kos bahan api

SITI Safinah Salleh (dua kanan) menunjukkan laporan tahunan pelerasan bahan api secara automatik bagi tahun 2025 di Ibu Pejabat Suruhanjaya Tenaga, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia perlu bersedia untuk berdepan kemungkinan peningkatan kos bahan api untuk penjanaan elektrik susulan konflik geopolitik di Asia Barat yang masih berterusan ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh berkata, bagaimanapun, kesan terhadap peningkatan kos itu masih terkawal berikutan sebahagian besar bekalan gas asli adalah daripada sumber domestik.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus gas asli bagi penjanaan elektrik di negara ini daripada sumber domestik, sekali gus mengurangkan pendedahan langsung terhadap turun naik harga global.

“Kita di Malaysia untuk penjanaan elektrik dari segi penggunaan gas asli, majoriti adalah daripada sumber domestik. Oleh demikian, kenaikan itu tidak terlalu ketara.

“Namun, ada juga kurang daripada 20 peratus yang masih lagi akan terdedah kepada risiko kenaikan kos kerana kita ada import gas asli tersebut daripada negara lain, bukan daripada Timur Tengah atau Asia Barat, tetapi kebanyakannya daripada Australia.

“Harga bahan api tersebut berkait juga dengan harga bahan api pasaran, jadi apabila harga bahan api di pasaran seperti Brent meningkat, kita juga akan merasa kesan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Semakan Kawal Selia Tahunan Suruhanjaya Tenaga 2026 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Siti Safinah menjelaskan bahawa kenaikan kos tenaga dipengaruhi tiga faktor utama iaitu harga bahan api di pasaran, kos penghantaran melalui perkapalan serta kos insurans.

Justeru, katanya, antara langkah yang boleh diambil untuk masyarakat lebih berjimat cermat adalah termasuk membeli barangan elektrik yang lebih cekap tenaga serta menilai semula penggunaan tenaga di rumah.

“Masyarakat perlu bersedia untuk kenaikan kos walaupun kenaikan kita mungkin tidak terlalu tinggi atau tidak terkesan berbanding dengan beberapa negara lain, tetapi masih ada kenaikan kos,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Siti Safinah berkata, tekanan kepada harga tenaga juga diramal boleh berlaku sekiranya harga kos arang batu turut mengalami peningkatan.

“Berdasarkan situasi krisis sebelum ini, terutamanya pada tahun 2022 semasa krisis Ukraine-Rusia, apa yang berlaku ialah apabila bekalan gas menjadi terhad di peringkat global, negara-negara akan beralih semula kepada arang batu. Ini menyebabkan harga arang batu meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN