BATU PAHAT: Seorang pekerja kedai serbaneka mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tujuh pertuduhan pecah amanah melibatkan wang berjumlah lebih RM32,000 bertujuan membayar hutang ‘ah long’ dimilikinya.
Tertuduh, Nurfatin Najwa Ahmad Bazli, 23, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Osman Affendi Mohd Shalleh.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa melakukan pecah amanah berupa wang tunai hasil jualan perniagaan harian berjumlah RM32,101.70 milik kedai serbaneka di Taman Soga, di sini antara 21 hingga 27 Mac lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun dan denda dan juga sebatan jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Seksyen 289 Kanun Prosedur Jenayah memberikan pengecualian hukuman sebatan terhadap pesalah wanita.
Memandangkan tertuduh mengaku bersalah, pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin sebelum mahkamah bersetuju dan memaklumkan kes akan disebut semula Jumaat ini untuk fakta dan hukuman.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, berdasarkan laporan dibuat, tertuduh ditugaskan mengira stok serta menjaga kaunter pembayaran pada 19 Mac lalu bagi menggantikan seorang pekerja kedai serbaneka terbabit yang cuti bersalin.
Namun, pengurusan kedai serbaneka berkenaan telah mengesan wujud aliran tunai mencurigakan sebelum audit dijalankan sebelum mendapati jumlah stok dengan pendapatan harian tidak selari.
Tertuduh kemudian mengaku melakukan pecah amanah kerana mahu membayar hutang ah long. – UTUSAN










