MONTREAL: Syarikat penerbangan Air Canada pada Isnin mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Michael Rousseau bakal bersara pada hujung tahun ini susulan kemelut yang tercetus akibat kegagalannya menyampaikan ucapan takziah dalam dwibahasa berkaitan nahas maut di lapangan terbang.
Rousseau mencetuskan kemarahan ramai selepas hanya menggunakan bahasa Inggeris dalam mesej video bagi menzahirkan simpati terhadap mangsa perlanggaran maut antara pesawat Air Canada dan sebuah trak bomba di Lapangan Terbang LaGuardia, New York pada 22 Mac lalu.
Isu ini dipandang serius memandangkan Kanada mempunyai dua bahasa rasmi iaitu bahasa Inggeris dan Perancis. Malah, laporan media mendedahkan salah seorang juruterbang yang terkorban dalam kemalangan itu berasal dari wilayah Quebec yang berbahasa Perancis.
Syarikat Air Canada mengesahkan bahawa Rousseau telah memaklumkan kepada lembaga pengarah mengenai persaraannya menjelang akhir suku ketiga tahun ini, sementara proses pencarian pengganti sedang dijalankan.
Pihak lembaga pengarah menyatakan bahawa kriteria pemilihan calon baharu akan merangkumi keupayaan untuk berkomunikasi dalam bahasa Perancis sebagai salah satu petunjuk prestasi utama.
Air Canada yang berpangkalan di Montreal, Quebec, merupakan syarikat penerbangan terbesar negara itu dan diwajibkan secara undang-undang untuk menyediakan perkhidmatan dalam kedua-dua bahasa rasmi.
Sebelum pengumuman persaraan ini, Rousseau telah memohon maaf dan mengakui kekesalannya kerana penguasaan bahasa Perancis yang terhad telah mengalihkan perhatian daripada kesediahan keluarga mangsa. Beliau mengakui kegagalannya untuk fasih berbahasa Perancis meskipun telah mengikuti banyak latihan selama bertahun-tahun.
Tindakan CEO tersebut turut menerima kecaman hebat daripada pemimpin tertinggi negara termasuk Perdana Menteri Kanada, Mark Carney. – AFP










