Kerajaan tarik rayuan benarkan keluarga Pastor Raymond Koh akses laporan sulit - Utusan Malaysia

Kerajaan tarik rayuan benarkan keluarga Pastor Raymond Koh akses laporan sulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan keluarga Pastor Raymond Koh mendapat akses kepada Laporan Pasukan Petugas Khas (STF) yang diklasifikasikan sulit.

Keputusan itu dibuat oleh barisan tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian bersama Datuk Ismail Brahim dan K. Muniandy selepas kerajaan menarik balik rayuan berkenaan.

Ketika prosiding, Nurul Farhana Khalid yang mewakili kerajaan, memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan bahawa notis pemberhentian rayuan telah difailkan baru-baru ini.

Pada masa sama juga beliau memohon agar mahkamah tidak mengenakan sebarang kos terhadap kerajaan susulan penarikan balik rayuan tersebut.

Sementara itu, peguam yang mewakili aktivis Pastor Koh, Michelle Wong membantah permohonan tersebut dengan menyatakan pihaknya telah melakukan kerja keras bagi menjawab rayuan berkenaan.

Menurutnya, pihak responden juga telah memfailkan satu permohonan bulan lalu sebagai keterangan baharu dalam kes tersebut.

“Sehubungan itu, kami memohon kos sebanyak RM15,000,” katanya.

Mahkamah kemudian memerintahkan rayuan itu dibatalkan dengan kos keseluruhan RM15,000 diberikan kepada keluarga Raymond Koh.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi lebih RM31 juta kepada Paderi Raymoh Koh yang hilang sejak Sembilan tahun lalu, dan isterinya, Susanna Liew.

Hakim Su Tiang Joo dalam penghakiman beliau memutuskan bahawa kerajaan dan polis bertanggungjawab terhadap kehilangan lelaki itu yang dilaporkan diculik pada 13 Februari 2017.

Dalam keputusannya sebelum ini, Hakim itu memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi am sebanyak RM10,000 sehari bermula dari 13 Februari 2017, kepada Raymond selaku plaintif pertama sehingga defendan mendedahkan keberadaan lelaki itu.

Hingga kini, jumlah itu sudah mencecah lebih RM32.2 juta.

Sebelum ini, Tiang Joo memutuskan bahawa satu atau lebih defendan yang terdiri daripada pegawai polis yang masih berkhidmat dan bekas pegawai polis terlibat dalam penculikan Raymond serta bertindak mengikut “satu arahan” lapan tahun lalu.

Raymond diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata pada 13 Februari 2017 ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya dalam perjalanan ke rumah seorang rakannya dan sehingga kini dilaporkan hilang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN