Sudah menjadi fitrah setiap wanita meminati barangan perhiasan yang disaluti emas, berlian dan permata sebagai pelengkap gaya. Sama seperti pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad yang turut menganggap emas sebagai bentuk simpanan dan pelaburan jangka masa panjang.
Bukan itu sahaja, pemilik nama Saidatul Naseha Uyaina Arshad itu turut menyifatkan minatnya terhadap emas kerana mempunyai nilai estetik dan sentimental yang tersendiri dalam kehidupan peribadinya.
“Sebagai seorang wanita, sudah tentu kita sukakan benda yang cantik dan berkilau. Sudah tentu saya sukakan emas kerana nilai estetiknya. Tetapi emas juga adalah satu bentuk pelaburan yang pada pendapat saya setiap kali kita membelinya, kita bukan membuang duit semata.
“Kita hanya tukar duit kepada emas. Seperti barangan lain, jika dibeli harganya makin menurun. Tetapi emas lama-kelamaan nilainya semakin meningkat. Mentaliti itu perlu betul.
“Dalam masa sama, emas juga sentimental bagi saya. Ada satu barang kemas itu, arwah ayah saya hadiahkan kepada ibu saya. Kemudian ibu serahkan kepada saya tetapu gelang tersebut patah.
Sekarang, saya cuba hantar gelang itu ke subua kedai untuk perbaiki,” katanya kepada Pancaindera.

Mula mengumpul emas sejak dirinya mula bekerja pada 2016, pengacara yang berusia 34 tahun itu menganggap koleksi perhiasan emas yang dimilikinya adalah salah satu alternatif untuk ketahanan hidup jika berdepan sebarang kesulitan di masa hadapan.
Uyaina bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah keseluruhan barangan kemas yang sudah dikumpulnya sehingga hari ini.
“Setiap tahun mesti akan ada dua atau tiga emas baharu. Tetapi bergantung kepada harga semasa sewaktu itu. Jika murah saya beli. Saya juga jarang menjual semula emas yang saya ada kerana perancangan jangka masa panjang.
“Mahu beli emas ini, kita tidak boleh beli hari ini dan jual esok. Kita perlu cari ilmu dan perlu tahu bila waktu terbaik untuk beli dan bila waktu terbaik untuk trade in dan jual. Kita perlu ada strategi juga di situ,” kongsinya.
Kata Uyaina, salah satu koleksi barangan kemas yang menjadi kegemarannya sehingga kini ialah cincin dan gelang saduran emas serta berlian pemberian suaminya, Raja Syahiran pada hari pernikahan mereka.

Ditanyakan tentang tips untuk membeli emas dengan bijak, bekas pengacara Wanita Hari Ini itu menegaskan banyak faktor yang perlu diambil kira seperti harga pasaran semasa, reka bentuk, upah, tujuan membeli serta ketahanan.
“Untuk mereka yang baru nak beli emas, jangan FOMO (fear of missing out). Sabar dulu. Kita perlu ada ilmu. Memanglah beli perhiasan itu untuk kita cantik, berseronok untuk padankan dengan pakaian, dan sebagainya.
“Cari tahu harga pasaran itu bagaimana dahulu. Adakah itu masa yang sesuai untuk membeli? Saya selalu bandingkan harga pasaran secara mingguan dan bulanan. Apabila harganya turun, ketika itu juga saya beli.
“Ada sesetengah orang suka bermain dengan jenama, reka bentuk dan bayaran upah barang kemas tersebut. Upah itu juga bergantung pada reka bentuk barang kemas itu sendiri. Ada juga yang suka mengumpul jongkong emas.
“Itu juga bergantung kepada citarasa individu itu tersendiri kerana ada yang suka memakai emas dan ada yang suka menyimpan emas. Ketahanannya bagaimana? Kerana emas 916 lebih tahan berbanding emas 999,” jelasnya.
Seronok berkongsi ilmu mengenai emas, Uyaina juga mengakui terhibur apabila ada yang menggelarnya sebagai Mami Jarum 2026 selepas mendedahkan ketagihannya mencari barangan kemas sepanjang hamil anak ketiganya, Raja Uzayn.
Katanya, pendedahan itu secara tidak langsung membuatkan lebih ramai yang merujuk dan bertanya pendapat kepadanya perkara yang berkaitan emas di media sosial, termasuk rakan selebriti.
Cakna situasi ekonomi semasa turut memberi kesan terhadap harga pasaran, Uyaina menganggap sekarang adalah waktu yang terbaik untuk orang ramai membeli emas jika mempunyai simpanan yang cukup demi pelaburan masa hadapan.
“Harga emas hari ini sangat tidak stabil dalam tempoh seminggu susulan krisis yang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) – Israel dan Iran. Bagi saya, kita perlu ambil dan rebut peluang yang ada untuk membeli emas jika harga sedang rendah.
“Kemudian simpan kerana suatu hari nanti harganya akan menjadi tinggi berbanding sekarang. Pada saya, lebih baik beli emas daripada beli perkara yang tidak berfaedah,” ujarnya.










