Kita bukan Tuhan atau malaikat untuk menentukan dosa orang lain - Fazley Yaakob - Utusan Malaysia

Kita bukan Tuhan atau malaikat untuk menentukan dosa orang lain – Fazley Yaakob

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang pempengaruh yang didakwa ‘menghina’ kerjaya anak seni dengan menyifatkan hasil pendapatan dalam bidang tersebut sebagai haram mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob.

Menurut Fazley, dalam menilai atau menghukum orang lain, setiap individu perlu memahami batas sebagai manusia dan tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum terhadap orang lain.

“Berkenaan isu menilai atau menghukum orang lain, kita perlu sedar bahawa kita bukan Tuhan untuk menghukum dan bukan malaikat untuk menentukan dosa orang lain. Kita hanyalah manusia yang tidak lari daripada kesilapan. 

“Bagi saya, menegur itu dibolehkan, namun hendaklah dilakukan dengan cara yang sopan, sebagaimana yang diajarkan dalam agama,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Astro Bukit Jalil, semalam. 

Selain itu, Fazley juga menegaskan mengenai kepentingan menjaga keharmonian dalam masyarakat yang berbilang latar belakang, terutama dalam suasana dunia digital yang semakin mencabar.

“Kehidupan yang aman dan harmoni adalah tuntutan yang perlu dipelihara. Sebab itu, dalam penghasilan kandungan saya juga berhati-hati. Sekarang ramai nak hasilkan bahan kandungan media sosial. 

“Terdapat pelbagai pendekatan seperti video, resepi dan drama. Saya memilih untuk menulis  di ‘thread’ bagi berkongsi pandangan dan buah fikiran. Jika diperhatikan, saya tidak pernah menyebut nama sesiapa secara langsung, sebaliknya mengajak orang ramai berfikir dari sudut yang lebih luas.

“ Ada kalanya penyampaian itu kedengaran pedas, dan ada kalanya manis. Namun, tidak semua yang pahit itu racun, dan tidak semua yang manis itu madu,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam kehidupan bermasyarakat, setiap individu perlu bijak menjaga sensitiviti dan tidak mendedahkan mana-mana pihak secara terbuka.

“Sebenarnya, dalam kehidupan ini kita perlu memahami bahawa kita hidup dalam sebuah komuniti. Namun, tidak wajar untuk menyebut nama individu secara terbuka. Sebab itulah jika orang melihat penulisan saya, saya sering menggunakan bahasa kiasan. 

“Ibarat memasak rendang, kita tidak akan berkongsi resepi sepenuhnya kerana ada yang dianggap sebagai rahsia masakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sikap segelintir pihak yang gemar mencetuskan provokasi, penyanyi lagu Asmara Ini  menganggap ia sebagai lumrah, namun perlu dikawal demi kesejahteraan bersama.

“Hakikatnya, ada individu yang sengaja mencari masalah, persoalannya ialah mengapa wujud sikap sedemikian. Manusia sememangnya mempunyai keinginan untuk mendapatkan perhatian, mencetuskan reaksi, serta menilai dan dinilai. Itu adalah lumrah kehidupan. 

“Namun begitu, kita diingatkan agar tidak ‘menjolok sarang tebuan, iaitu tidak mencetuskan provokasi yang boleh mengundang kesan buruk.

“Orang yang lebih berpengalaman biasanya lebih bijak dalam berkata-kata berbanding mereka yang masih mentah. Sebagai masyarakat Malaysia, kita seharusnya memahami akibat daripada setiap tindakan,”katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN