KUALA PILAH: Menyedari Malaysia masih lagi bergantung sepenuhnya bekalan bawang dari luar negara, seorang anak muda dari Johol di sini menyahut cabaran untuk mengusahakan tanaman dan pembenihan bawang.
Ketua Pegawai Operasi Famagro Sdn. Bhd., Muhammad Nazirullah Muhammad Nazlan, 32, berkata, projek tanaman bawang yang diusahakannya itu bermula selepas mendapat tawaran daripada pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), tahun lalu.
“Sebelum ini, kami lebih tertumpu kepada tanaman cili yang diusahakan sejak 2019 sebelum MARDI datang dan menawarkan projek tanaman bawang ros atau BAW-1. Kami sahut dan cuba dahulu dengan 500 polibeg menggunakan benih yang dibekalkan.
“Masa itu memang sekadar hendak tengok sama ada menjadi atau tidak. Alhamdulillah, hasil pertama dituai pada bulan Mac lalu sangat memberangsangkan. Saiz bawang besar dan berat hasil melebihi sasaran ditetapkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di ladangnya di Ulu Pilah.
Katanya, kejayaan itu menyebabkan syarikatnya diberi kepercayaan menjadi antara pengeluar benih bawang untuk dibekalkan kepada petani.
Muhammad Nazirullah berkata, setakat ini lebih 33,000 polibeg bawang telah diusahakan di tiga plot tanaman berasingan dengan keluasan kawasan keseluruhan 3.2 hektar serta akan membuka sebuah lagi ladang di Tanjung Ipoh yang berkeluasan 20.2 hektar.
Katanya, sektor penanaman bawang tempatan mempunyai prospek besar berikutan negara masih bergantung hampir 100 peratus import bekalan bawang.
“Kerajaan menyasarkan 30 peratus pengurangan kebergantungan import menjelang 2030. Jadi, kami fokus kepada pembenihan dan ekosistem dahulu,” katanya.
Dia yang mempunyai kelulusan Diploma Pengajian Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, tanaman bawang mudah diurus berbanding cili kerana risiko penyakit lebih rendah, selain kos operasi yang murah.
Katanya, tanaman itu juga boleh dituai dalam masa 75 hari dan boleh ditanam hingga empat musim dalam setahun.
“Kalau cili, risiko penyakit dan virus sangat tinggi. Kadang-kadang dalam tiga atau empat hari sahaja penyakit boleh merebak sehingga menjejaskan sebahagian besar tanaman. Tetapi bawang lebih mudah kerana ia tanaman umbisi. Yang penting kena pandai kawal air,” katanya.
Ujarnya, penggunaan Sistem Pelindung Hujan (SPH) serta sistem fertigasi dan teknologi internet kebendaan (IoT) banyak membantu memastikan tanaman berada dalam keadaan optimum. – UTUSAN










