PADA 22 Mac 2024, Puteri Wales, Catherine Middleton atau Kate Middleton, mengejutkan dunia apabila mengumumkan dirinya menghidap kanser.
Dalam satu video yang menyentuh hati, bakal ratu dan ibu kepada tiga anak itu duduk di bangku kediamannya di Windsor sambil memberitahu telah menjalani rawatan pencegahan selama dua bulan.
“Kami perlukan sedikit masa untuk menjelaskan semuanya kepada George, Charlotte dan Louis dengan cara yang sesuai untuk mereka.
“Kehadiran William di sisi saya adalah sumber ketenangan dan keyakinan besar. Begitu juga dengan kasih sayang, sokongan dan kebaikan yang ditunjukkan orang ramai. Ia sangat bermakna bagi kami berdua,” katanya.
Puteri Wales, yang dianggap sebagai ‘bintang utama’ keluarga diraja dan wajah monarki moden, turut mendedahkan untuk berundur sementara daripada umum, dengan meminta masa, ruang dan privasi bagi menjalani rawatan.
FASA PEMULIHAN
Ketika dunia terus memberikan sokongan dan doa, Catherine perlahan-lahan mula pulih. Pada Jun 2025, beliau membuat kemunculan semula dalam acara Trooping the Colour, diikuti dengan kehadirannya di perlawanan akhir Wimbledon.
“Saya menunjukkan perkembangan baik, tetapi seperti sesiapa yang melalui kemoterapi, ada hari baik dan buruk.
“Pada hari buruk, anda berasa lemah, letih dan hanya mahu berehat.
“Tetapi pada hari baik, diri berasa lebih kuat dan anda mahu memanfaatkan sepenuhnya perasaan itu,” katanya berkongsi pengalaman menjalani rawatan.
Pada September 2024, Catherine diumumkan selesai menjalani rawatan kemoterapi. Selepas itu, beliau mula kembali melakukan beberapa tugasan lebih peribadi.
Pada Oktober, beliau melawat Southport untuk bertemu keluarga mangsa serangan tikaman pada Julai.

Disember tahun sama, keluarga diraja memberikan sokongan kepada Puteri Wales ketika beliau menganjurkan konsert carol tahunan Together at Christmas di Westminster Abbey.
Januari 2025, Catherine mengumumkan beliau kini dalam keadaan remisi.
“Ia satu kelegaan untuk berada dalam remisi dan saya akan terus memberi tumpuan kepada pemulihan. Sesiapa yang pernah melalui diagnosis kanser pasti tahu, ia mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu.
“Namun saya menantikan tahun yang penuh makna. Terima kasih kepada semua atas sokongan berterusan anda,” tulisnya di akaun media sosial rasmi yang dikongsi bersama Putera William.
Catherine mengakui kembali kepada kehidupan normal selepas rawatan adalah sangat sukar.
PENGALAMAN MENAKUTKAN
Catherine memulakan tahun 2026 dengan lawatan ke Hospital Charing Cross dan berbual dengan seorang sukarelawan mengenai pengalaman kemoterapi yang agak menakutkan.
Beliau turut menjelaskan perkara penting yang tidak tertulis dalam deskripsi tugas, seperti ‘kebaikan hati dan belas kasihan’, sangat memberi kesan kepada mereka yang menjalani rawatan.
Pada Februari, Catherine sekali lagi menyampaikan renungan menyentuh hati sempena Hari Kanser Sedunia melalui sebuah video.
“Pada Hari Kanser Sedunia, fikiran saya bersama semua pesakit kanser sama ada yang sedang menjalani rawatan atau proses pemulihan,” katanya.
Katanya, kanser bukan hanya memberi kesan kepada pesakit, tetapi juga keluarga, rakan dan penjaga.
Jelasnya, perjalanan sebagai pejuang kanser penuh berliku, di mana ada saat ketakutan serta keletihan, tetapi ada juga detik kekuatan, kebaikan dan hubungan yang sangat mendalam.
“Hari ini adalah peringatan tentang pentingnya penjagaan, kefahaman dan harapan. Usah bimbang, anda tidak bersendirian,” katanya.










