Taanusiya Chetty malu dengan warna kulit sewaktu di sekolah, mula sedar apabila mendapat pujian setelah dewasa - Utusan Malaysia

Taanusiya Chetty malu dengan warna kulit sewaktu di sekolah, mula sedar apabila mendapat pujian setelah dewasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pernah berdepan rasa rendah diri terhadap warna kulit sendiri, pemegang Miss World Malaysia, Taanusiya Chetty, kini memilih untuk menerima dan menghargai keunikan dirinya selepas melalui pelbagai pengalaman sepanjang membesar.

Taanusiya, 25, berkata, ketika zaman persekolahan, dia sering berasa tidak yakin kerana warna kulitnya kerap menjadi bahan perbandingan dengan orang lain.

“Dulu saya selalu berasa rendah diri dengan warna kulit sawo matang saya, terutamanya ketika di sekolah kerana saya sering dibandingkan dengan orang lain dari segi tona kulit.

“Perkara itu membuatkan saya melihat diri sendiri secara berbeza pada waktu tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Threads Malaysia.

Tambah peragawati itu, persepsi tersebut bagaimanapun berubah apabila dia semakin dewasa dan menerima pelbagai kata-kata positif daripada orang sekeliling.

“Apabila meningkat dewasa, saya menerima begitu banyak pujian dan kata-kata yang baik daripada ramai orang. Perkara itu banyak mengubah cara saya melihat diri sendiri.

“Sekarang saya percaya setiap wanita itu cantik dengan cara dan keunikan masing-masing.

“Apabila kita menerima diri sendiri seadanya, kita akan menarik orang yang benar-benar menghargai kecantikan dan nilai yang ada dalam diri kita,” katanya.

Untuk rekod, Taanusiya Chetty merupakan pemegang gelaran Miss World Malaysia yang dinobatkan pada Disember 2024 yang berbangsa India.

Dia juga merupakan seorang guru, pempengaruh dan peragawati mewakili negara di peringkat antarabangsa sambil memperjuangkan pendidikan inklusif dan kesejahteraan mental melalui pertubuhan kebajikannya sendiri.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN