Jika mama berbaik semula, luka lama akan datang kembali - Cik B - Utusan Malaysia

Jika mama berbaik semula, luka lama akan datang kembali – Cik B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap dan selebriti media sosial, Cik B, mengakui, tidak mahu ibunya, Datuk Seri Vida, terus berada dalam fasa sakit hati atau kecewa susulan kegagalan dalam hubungan percintaan sebelum ini.

Menurut Cik B, pengalaman melihat kesedihan ibunya membuatkan dia  kini lebih memahami perasaan seorang wanita yang melalui episod duka dalam percintaan, sekali gus memilih untuk tidak lagi campur tangan dalam hal tersebut.

“Saya memang harap mama saya tidak sakit hati. Untuk tidak sakit hati itu, bagi saya, mungkin lebih baik menjauhkan diri. Kadang-kadang kita kena ‘let it go’, macam kita pegang tali, tarik-tarik, kemudian bila lepaskan, tangan kita rasa lega.

“Saya takut kalau mama berbaik semula, luka lama akan datang kembali kerana kenangan itu tidak pernah hilang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Astro Bukit Jalil, semalam. 

Kenyataan tersebut merupakan respons terhadap video siaran langsung Tik Tok Datuk Seri Aliff Syukri baru-baru ini yang cuba memulihkan hubungan Vida dengan usahawan, Iqbal Zulkefli.

Mengulas lanjut, Cik B berkata, dia kini lebih matang dalam menilai situasi berbanding ketika usia remaja, apabila belum memahami erti cinta dan kesannya terhadap emosi seseorang.

“Dulu saya masuk campur juga, tapi bila saya dah besar, saya faham perasaan mama. Masa usia remaja, saya tak faham apa itu cinta. Bila saya dah faham, saya dapat rasa betapa sakitnya hati mak saya, betapa sedihnya sampai ‘mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang’.

“Jadi sekarang saya tak nak masuk campur. Mama tahu apa yang mama nak buat, Mama tahu macam mana nak jaga mental dia. Saya yakin mama dah tak mahu semua ini dan sudah ‘move on’,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan ibunya yang tidak membalas mesej berkaitan isu tersebut juga menjadi petunjuk bahawa Vida tidak lagi berminat untuk mengungkit kisah lama.

Dalam masa sama, Cik B turut mengakui hubungannya dengan individu terlibat juga tidak rapat dan lebih selesa untuk tidak berkomunikasi.

“Saya dengan dia (Iqbal) memang tidak baik, maksudnya bukan bergaduh, tapi saya tak bercakap. Setiap kali nak bercakap pun rasa janggal, jadi saya pilih untuk tidak berhubung,” jelasnya.

Dalam pada itu, Cik B turut mendedahkan perkembangan terbaharunya termasuk usaha memperbaiki diri dari segi kerjaya dan penampilan demi penglibatannya dalam program Talk To My Manager (TTMM) musim baharu. 

“Sekarang saya duduk di Kuala Lumpur, sebelum ini di Ipoh. Saya ambil kelas vokal dengan Cikgu Syafi dan juga kelas koreografi walaupun sebenarnya saya tak berapa minat menari, tapi mama suruh supaya saya lebih aktif. Saya juga pergi gym.

“Dulu saya lagi berisi, sekarang sudah nampak perubahan sikit. Saya rasa sudah turun dalam 15 kilogram walaupun tak nampak sangat. Beri saya enam bulan, saya janji akan turunkan lagi berat dan dapatkan ‘jawline’ yang lebih jelas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN