Nama penyanyi dan pempengaruh, Ikhmal Nour semakin dikenali apabila tampil dengan identiti tersendiri menerusi lagu-lagu berunsur Arab yang disuntik dengan elemen moden dan dekat dengan jiwa pendengar tempatan.
Bukan sekadar aktif sebagai pencipta kandungan di media sosial, Ikhmal juga mengorak langkah serius dalam bidang nyanyian apabila baru sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Habibillah.
Menurut Ikhmal, perjalanan seninya bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya sudah bermula sejak beberapa tahun lalu dengan percubaan demi percubaan untuk mencari identiti sebenar sebagai penyanyi.
“Sebenarnya saya sudah mula mengeluarkan lagu sejak sekitar tahun 2021 atau 2022 lagi. Kalau tidak silap, ini merupakan single keempat atau kelima saya.
“Single terbaru yang baru sahaja dilancarkan bertajuk Habibillah, sebuah lagu berbahasa Arab yang dicampurkan dengan bahasa Melayu. Saya mahu membawa sesuatu yang berbeza kepada pendengar tempatan kerana saya percaya elemen Arab itu sendiri mempunyai keunikan yang sangat kuat.
“Selain itu, untuk lagu raya pula, saya baru sahaja berkolaborasi bersama Sarah Suhairi dan Ijaz Ishaq. Kami menghasilkan lagu raya bersama dan itu juga menjadi lagu raya pertama saya sepanjang bergelar penyanyi,” katanya.
Menariknya, kebanyakan lagu yang dibawa Ikhmal bukanlah berteraskan lagu ketuhanan atau nasyid semata-mata, sebaliknya lebih menjurus kepada elemen etnik kreatif berunsur Arab yang jarang diterokai oleh penyanyi tempatan.
Jelas Ikhmal, keputusan itu dibuat bukan kerana desakan pihak label, tetapi lahir daripada jiwa dan identiti dirinya sendiri.
“Sebenarnya saya lebih cenderung kepada lagu balada. Itu memang genre yang dekat dengan jiwa saya. Tetapi apabila melihat pasaran industri muzik kita hari ini, persaingan dalam genre balada sangat sengit.
“Sama ada penyanyi lelaki atau perempuan, semuanya mempunyai vokal yang luar biasa. Untuk seseorang yang mempunyai suara biasa seperti saya, agak sukar untuk bersaing dalam balada kecuali jika lagu itu benar-benar menjadi hit.
“Jadi, saya melihat muzik etnik kreatif ini masih mempunyai ruang yang besar. Di Malaysia, belum ramai yang membawa lagu berunsur Arab. Ia bukan lagu Islamik semata-mata, tetapi benar-benar membawa rasa muzik Arab itu sendiri.
“Saya cuba mencampurkannya dengan bahasa Melayu supaya ia lebih mudah diterima oleh masyarakat kita dan dalam masa sama masih mengekalkan identiti tersendiri,” ujarnya.
Tambah Ikhmal, kecenderungannya terhadap bahasa Arab juga bukan sesuatu yang dibuat-buat demi strategi pemasaran, sebaliknya sudah sebati sejak zaman persekolahan.
“Itu memang jiwa saya sendiri. Saya mula dikenali di media sosial pun kerana sering meng-Arabkan lagu-lagu yang asalnya bukan lagu Arab.
“Daripada situ, saya nampak orang suka dan mereka rasa ia unik. Jadi, apabila saya masuk ke media arus perdana, saya gunakan pendekatan yang sama kerana itu memang identiti saya.
“Bagi saya, menyanyikan lagu Arab sebenarnya lebih mudah berbanding yang orang sangka. Saya bersekolah menengah agama dan kebanyakan pembelajaran kami menggunakan bahasa Arab.
“Jadi untuk saya, melontarkan lirik Arab itu lebih natural. Bahasa Melayu juga mudah, tetapi apabila kita menyampaikan lirik Arab, kita juga secara tidak langsung membuatkan orang tertarik untuk mengenali dan mempelajari bahasa itu,” katanya.
Dalam pada itu, sebagai individu yang aktif sebagai pencipta bahan kandungan media sosial dan juga penyanyi, Ikhmal mengakui ramai melihat kedua-dua dunia itu sebagai sesuatu yang sama, namun realitinya sangat berbeza.

Katanya, dunia pempengaruh dan penyanyi masing-masing mempunyai cabaran tersendiri dan menuntut komitmen yang bukan sedikit.
“Bagi saya, pembengaruh dan penyanyi memang nampak seperti berada dalam dunia yang sama, tetapi sebenarnya cara kerjanya sangat berbeza.
“Sebagai pembengaruh, kita sentiasa perlu menghasilkan idea baharu, sentiasa perlu relevan dan sentiasa perlu segar di mata audiens. Orang nampak mudah sebab hanya lihat video pendek di media sosial, tetapi proses untuk kekal relevan itu sangat mencabar.
“Sebagai penyanyi pula, kita bukan hanya menyanyi. Ada latihan vokal, ada persediaan persembahan, ada rakaman dan komitmen lain yang orang tidak nampak. Biasanya bila ada show, barulah orang nampak kita muncul.
“Alhamdulillah, setakat ini saya berjaya seimbangkan kedua-duanya. Waktu malam saya lebih fokus sebagai content creator, manakala pada waktu siang saya fokus kepada kerjaya nyanyian.
“Sebenarnya bukan mudah menjadi anak seni. Bila saya sendiri terlibat dalam bidang ini, barulah saya faham betapa sukarnya untuk kekal relevan,” katanya.
Selain itu, Ikhmal turut mengakui, persepsi masyarakat terhadap dunia seni sering kali berbeza dengan realiti sebenar yang dilalui oleh artis.
“Dulu masa kecil, kita selalu tertanya-tanya kenapa ada artis yang tidak begitu menonjol, kenapa mereka tidak selalu muncul di televisyen, adakah mereka tidak berusaha?
“Tetapi bila saya sendiri berada dalam industri ini, saya faham bahawa semuanya sangat sukar. Persaingan terlalu sengit. Setiap hari ada artis baharu, ada content creator baharu, semuanya berebut ruang yang sama.
“Kita sentiasa perlu segar dengan idea. Dalam dunia pembengaruh sendiri pun persaingannya sangat sengit kerana ada pelbagai bidang seperti beauty and fashion, entertainment, sports, gaming dan banyak lagi.
“Begitu juga dengan artis. Ada yang bermula sebagai pelakon kemudian menjadi penyanyi. Ada yang bermula sebagai penyanyi kemudian menjadi pengacara. Semua datang daripada platform yang sama.
“Kita tidak boleh memilih rezeki yang datang. Apa yang ada, kita lakukan sahaja,” ujarnya.










