Bosan jadi pengarah, Yusry kembali sebagai hero - Utusan Malaysia

Bosan jadi pengarah, Yusry kembali sebagai hero

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SUDAH mula rasa jemu jadi pengarah, saya perlu angin baru,”

DEMIKIAN kata penyanyi, pengarah dan pelakon, Datuk Yusry Abdul Halim yang kembali memakai ‘topi’ pelakon beraksi di hadapan kamera sebagai watak utama selepas beberapa tahun meninggalkan status itu.

Yusry, 53, yang juga ahli kumpulan KRU menyifatkan kemunculan semula dirinya dalam drama rantaian bersiri tempatan, Dendam Seorang Mentua adalah waktu yang tepat, di mana dia mula merasakan sudah jemu melakukan pekerjaan sebagai pengarah bertahun-tahun lamanya. 

“Tahun lepas saya berhenti mengarah sekejap kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada konsert, itu adalah perasaan yang segar untuk saya.

“Situasi ini sama juga ketika saya pernah rasa bosan bernyanyi, saya berehat dan bernyanyi semula setelah sekian lama. 

“Konsert KRU baru-baru ini adalah kali pertama selepas tiga dekad, saya benar-benar menikmati persembahan di atas pentas. 

“Sama juga dengan bidang lakonan, mungkin sebab sudah lama berehat, saya rasa sedia untuk berlakon semula,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Perasaan jemu atau ‘jaded’ yang dimaksudkan suami kepada pelakon, Lisa Surihani itu adalah perkara lumrah bagi anak seni. 

Katanya, bertahun-tahun menjadi pengarah melakukan perkara sama sedikit sebanyak meletihman jiwa. 

“Bila saya mengarah, saya orang paling awal sampai dan paling lewat balik. Tapi saya perhatikan pelakon, kadang-kadang datang buat dua babak, kemudian sudah boleh balik. 

“Sebagai orang lama yang dah lama tidak berlakon, ia adalah satu pengalaman yang ‘fresh’. Saya sendiri pun sudah hampir terlupa macam mana rasanya berdiri di depan kamera sebagai pelakon,” tambahnya.

Ditawarkan watak utama sebagai Muzaffar walaupun sudah mencecah usia 50-an, Yusry tidak menyangka akan dapat menyambar tawaran ini memandangkan sudah tidak banyak skrip yang memberikan peluang kepada pelakon sebayanya. 

“Saya tanya mereka, watak apa? Dalam fikiran saya sudah tentu watak bapa sebab umur sudah 50 tahun. 

“Tapi bila mereka kata ini watak utama dan berkahwin dengan heroin, saya rasa ini sesuatu yang lain.

“Selama ini pelakon senior selalu mengadu kenapa tidak ada watak utama untuk mereka. Jadi, bila peluang itu datang kepada saya, takkan saya nak tolak pula?.” katanya

Sebagai pelakon, cara Yusry di set penggambaran sudah tentu berbeza. Jika menjadi pengarah membuatnya garang dan kurang bergaul, tetapi menjadi pelakon mengubah personalitinya kepada seorang yang santai. 

“Semasa mengarah saya memang akan jaga jarak dengan pelakon. Tapi apabila sudah menjadi pelakon, saya santai sahaja.

“Untuk projek ni, saya cakap dengan isteri, Lisa, dan pembantu peribadi saya bahawa saya mahu kenal mereka semua. Saya mahu kami jadi macam adik-beradik supaya lebih selesa.

“Berkenaan tawaran pula, saya terbuka sahaja kepada mana-mana produksi untuk mewarkan watak. Saya jenis ‘rock and roll’.  Kalau jadi, jadi. Saya tidak merancang terlalu jauh,” katanya. 

Terdahulu, Yusry sibuk memberi fokus kepada kerja-kerja pasca-produksi dan kesan khas visual (VFX) selain bidang kepengarahan.

Pada 2023, Yusry tampil buat pertama kali di skrin sebagai watak sampingan dalam drama bersiri Lagenda Puteri Qaseh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN