Rakyat dilema tersepit dalam ekonomi semasa

Rakyat dilema tersepit dalam ekonomi semasa

MALAYSIA perlu melangkaui pendekatan kovensional dalam menentukan hala tuju keputusan persaraan dan dasar keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini buat pertama kalinya dalam sejarah negara, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Akaun Pindahan Negara (NTA) 2022.

NTA menunjukkan secara per kapita rakyat Malaysia hanya mula menjana pendapatan buruh melebihi tahap penggunaan bermula pada usia 29 hingga 55 tahun.

Ini bermakna, tempoh seseorang individu menjadi ‘penyumbang bersih’ kepada ekonomi hanyalah selama 26 tahun berbanding 49 tahun dalam ukuran ideal.

Individu berumur 29 hingga 55 tahun bukan sahaja menyara diri sendiri, malah turut menjadi ‘bank’ kepada golongan muda sehingga 28 tahun dan warga tua berumur 56 tahun ke atas.

Inilah yang dinamakan krisis generasi sandwich. Pekerja hari ini dihimpit antara kos membesarkan anak yang semakin meningkat dan juga keperluan perubatan ibu bapa yang semakin menua.

Malaysia perlu melangkaui pendekatan kovensional dalam menentukan hala tuju keputusan persaraan dan dasar keluarga.

Pertama, galakan tenaga kerja aktif sepanjang hayat. Malaysia perlu agresif untuk meningkatkan penyertaan tenaga buruh dalam kalangan mereka yang berumur 60 hingga 64 tahun.

Kajian terkini mencadangkan usaha mengekalkan warga emas dalam pekerjaan yang fleksibel dan mesra usia adalah penting bagi menampung peningkatan penyertaan pekerja berusia sebanyak 10.4 peratus menjelang 2030.

Langkah ini dapat menangguhkan defisit kitaran hayat ke usia yang lebih lewat, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap pekerja muda.

Kedua, menginstitusikan penjagaan warga tua. Pada masa ini, perbelanjaan kerajaan menunjukkan prestasi yang baik dalam pembiayaan pendidikan, namun masih ketinggalan berbanding perbelanjaan swasta dalam aspek penjagaan warga tua.

Sehubungan itu, Malaysia memerlukan satu Dasar Ekonomi Penjagaan Negara yang antara lainnya menyediakan insentif cukai bagi perkhidmatan penjagaan warga tua.

Ketiga, mengimbangi pertumbuhan wilayah. Data NTA menunjukkan wujudnya ketidaksamaan yang ketara antara negeri.

Contohnya, Sabah dan Kelantan mempunyai corak kitaran hayat yang berbeza berbanding Selangor dan Kuala Lumpur.

Oleh itu, dasar masa hadapan perlu lebih terperinci dan menyasarkan intervensi peringkat negeri yang mengambil kira kepantasan demografi setempat.

Dalam keadaan populasi belia semakin mengecil dan jumlah warga tua yang semakin meningkat, inovasi baharu dalam ekonomi penjagaan amat mendesak.

Tindakan segera perlu diambil melalui pelbagai intervensi menyeluruh dalam pasaran buruh. Pendapatan buruh perlu ditingkatkan, khususnya bagi golongan yang baru memasuki pasaran kerja, supaya mereka mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi sepanjang tempoh lebihan pendapatan mereka.

Pendidikan tidak formal dan bukan formal juga perlu diberi perhatian, khususnya bagi mengiktiraf kemahiran sepanjang hayat di samping laluan pendidikan arus perdana.

Tambahan itu, merekabentuk semula masyarakat agar warga emas kekal sebagai aset produktif dan bukan sekadar tanggungan ekonomi, juga merupakan agenda dasar yang penting.

Sekiranya Malaysia kurang cermat dalam menyesuaikan ‘kontrak sosial’ masa kini, maka lebihan ekonomi yang membina kemakmuran Malaysia moden akan semakin menyusut, sekali gus meninggalkan generasi akan datang dengan beban yang tidak mampu mereka tanggung. –UTUSAN

DR. MUHAMMAD DAANIYALL ABD. RAHMAN & ADZZAHIR IFWAD ADZMAN
Sekolah Perniagaan dan Ekonomi
Institut Pengajian Sains Sosial UPM
Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan
(EU-ERA), THE FUTURE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN