SASARAN subsidi atau bantuan yang dihulurkan masih terikat kepada pendapatan isi rumah tanpa mengambil kira perbelanjaan isi rumah. Sebuah keluarga dengan lapan orang isi rumah sudah tentu melibatkan perbelanjaan isi rumah lebih tinggi daripada keluarga yang mempunyai seorang anak, suami dan isteri.
Sebagai contoh, sekiranya pendapatan isi rumah ialah RM6,000 sebulan tetapi menanggung enam orang anak, suami dan isteri, ini bermakna peruntukan untuk setiap seorang ahli keluarga ialah RM750 seorang.
Manakala keluarga yang mempunyai seorang anak, suami dan isteri, dengan pendapatan isi rumah RM3,000 sebulan, menjadikan peruntukan setiap seorang isi keluarga ialah RM1,000 seorang. Keluarga manakah yang lebih memerlukan bantuan?
Logik semasa menunjukkan keluarga berpendapatan isi rumah RM3,000 dalam kategori B40 lebih layak menerima bantuan berbanding keluarga berpendapatan RM6,000 yang menanggung tanggungan lebih besar, seperti enam orang anak serta suami dan isteri, meskipun mereka tergolong dalam kategori M40.
Inilah yang berlaku kepada anak saudara saya yang pendapatan isi rumahnya melebihi RM6,000 sebulan tetapi mempunyai dua orang anak yang menuntut di universiti dan empat orang yang masih bersekolah. Permohonannya untuk mendapatkan bantuan zakat ditolak kerana tidak termasuk dalam kategori B40 dengan pendapatan kurang dari RM5,250 sebulan.
Beliau terpaksa mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), semata-mata untuk menampung perbelanjaan keluarga semasa dengan anak yang ramai.
Sekiranya kerajaan ingin menyasarkan bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan, sasaran bantuan tidak seharusnya terikat kepada pendapatan isi rumah semata-mata. Ia perlu mengambil kira perbelanjaan asas isi rumah berbanding dengan pendapatan isi rumah.
Sekiranya perbelanjaan asas isi rumah lebih tinggi daripada pendapatan isi rumah, mereka ini lebih memerlukan bantuan, tanpa mengira sama ada dalam kategori B40 atau M40, ataupun T20. Namanya pun subsidi atau bantuan bersasar, maka sasarannya ialah mereka yang memerlukan bukan pendapatan isi rumah semata-mata. –UTUSAN
NORUDDIN IDRIS
Kuala Lumpur










