WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara rasmi telah menamakan bekas peguam peribadinya, Todd Blanche sebagai calon Peguam Negara AS yang baharu sekali gus memberi bayangan bakal berlakunya penolakan dan pertembungan sengit di peringkat Dewan Senat.
Blanche, 51, sebelum ini telah menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Peguam Negara sejak April lalu berikutan peletakan jawatan penyandang terdahulu, Pam Bondi. Sepanjang tempoh singkat tersebut, beliau telah menggerakkan beberapa siri pendakwaan terhadap individu yang disifatkan sebagai musuh politik Trump.
Bekas orang kuat nombor dua di Jabatan Keadilan (DOJ) itu juga sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mempertahankan kewujudan dana bernilai AS$1.8 bilion (RM7.3 bilion) yang bertujuan untuk membayar pampasan kepada sekutu politik Trump, sebelum peruntukan itu digugurkan oleh pihak pentadbiran baru-baru ini.
Pihak Rumah Putih menerusi satu kenyataan di laman web rasmi mereka mengesahkan bahawa dokumen pencalonan Blanche telah dihantar secara rasmi kepada Dewan Senat pada Isnin. Langkah itu menyusul selepas Trump memberi bayangan awal mengenai hasrat pelantikan tersebut ketika menghadiri majlis makan malam di Rose Garden Rumah Putih, minggu lalu.
Bagaimanapun, Blanche dilaporkan berdepan laluan sukar untuk mendapatkan sokongan majoriti mutlak daripada wakil rakyat Dewan Senat AS yang bertanggungjawab meluluskan pelantikan jawatan kanan dalam pentadbiran kerajaan.
Sejumlah wakil rakyat daripada Parti Republikan sendiri dikesan mula memberikan beberapa tamparan hebat kepada Trump sejak kebelakangan ini ekoran kejatuhan kadar sokongan rakyat terhadap Presiden AS itu berhubung isu prestasi ekonomi semasa serta kancah peperangan dengan Iran, ketika negara itu berbaki lima bulan sahaja lagi sebelum menghadapi pilihan raya pertengahan penggal yang kritikal.
Barisan wakil rakyat dilaporkan amat berang dengan kewujudan dana anti-penjadualan senjata yang diperjuangkan oleh Blanche sebelum ini yang mana peruntukan itu cuba digunakan bagi menyalurkan pampasan kepada sekutu Trump yang pernah didakwa di bawah pentadbiran bekas Presiden Joe Biden.
Dalam pada itu, barisan kepimpinan daripada Parti Demokrat turut mengecam sekeras-kerasnya pelantikan berkenaan serta menyifatkan dana yang diwujudkan itu sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa. – AFP










