AJL40 SA: Busana tuala Good Morning Aina Abdul ada simbolik peribadi - Utusan Malaysia

AJL40 SA: Busana tuala Good Morning Aina Abdul ada simbolik peribadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Aina Abdul sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil memperagakan busana unik menggunakan tuala Good Morning, kain yang sinonim digunakan oleh golongan ibu di dapur dan untuk kegunaan harian di rumah.

Busana couture yang diinspirasikan daripada tuala berkenaan bukan sekadar pilihan fesyen luar biasa, sebaliknya sarat dengan simbolik mendalam yang menggambarkan perjalanan seni dan kehidupan penyanyi itu sendiri.

Menurut Aina, idea tersebut sebenarnya datang daripada pereka, Melinda Looi yang mencadangkan agar tuala ikonik itu diangkat menjadi sebuah karya fesyen berkelas tinggi.

“Pada mulanya, kami berbincang tentang apa lagi yang boleh kami hasilkan kerana sebelum ini kami sudah mencuba banyak perkara. Kemudian Melinda menghantar gambar tuala Good Morning dan mencadangkan supaya ia dijadikan couture.

“Saya memang sukakan idea yang di luar kotak, jadi saya terus menerima cabaran itu. Saya kata, mari kita lakukan,” katanya.

Selain itu, Aina berkata, pemilihan tuala Good Morning itu mempunyai makna yang sangat peribadi buat dirinya, terutama selepas melalui fasa menyepi yang membuatkan ramai menyangka dia sedang berehat daripada dunia seni.

“Bagi saya, selepas tempoh itu, ramai orang rasa seperti saya sedang berehat. Tetapi sebenarnya saya tidak berehat. Saya masih ada dan saya masih berjuang.

“Sebab itu saya bersetuju dengan simbol Good Morning itu. Ia seperti satu ucapan untuk kemunculan semula saya. Good morning itu seperti saya sedang berkata kepada semua orang bahawa saya kembali, saya di sini dan saya tidak pernah berhenti,” ujarnya.

Tambah penyanyi lagu popular itu, kira-kira 150 helai tuala dengan gred paling tinggi iaitu triple A digunakan bagi menghasilkan busana berkenaan.

“Kami menggunakan lebih 150 helai tuala dan semuanya daripada gred paling tinggi. Tuala ini sebenarnya ada beberapa gred dan kami memilih triple A kerana ia lebih tebal dan sesuai untuk dijadikan pakaian.

“Proses menyiapkan busana ini mengambil masa kira-kira dua minggu. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana tekstur kainnya sangat berbeza berbanding fabrik biasa,” jelasnya.

Sementara itu, Melinda turut menjelaskan bahawa pemilihan tuala tersebut dibuat kerana unsur nostalgia yang dekat dengan kehidupan masyarakat, khususnya yang membesar bersama ibu dan nenek di rumah.

“Kalau kita lihat kain ini, ramai antara kita membesar dengan melihat nenek atau ibu menggunakan kain seperti ini untuk mengelap rumah, di dapur atau untuk kegunaan harian. Ia sangat ikonik dan penuh dengan memori.

“Apabila orang melihatnya, mereka akan terus teringat, ‘Oh ya, nenek saya dulu guna benda ini.’ Jadi bagi saya, ini bukan sekadar kain, tetapi ia membawa cerita, kenangan dan rasa kekeluargaan,” katanya.

Melinda berkata, dia sentiasa tertarik untuk menghasilkan karya yang mempunyai cerita dan emosi kerana baginya fesyen bukan hanya tentang pakaian, tetapi juga tentang hubungan manusia dan memori yang dikongsi bersama.

“Saya suka bercerita di dalam karya, saya suka mengingati masa lalu dan saya sangat menghargai ikatan keluarga. Benda seperti ini membantu kita untuk lebih menghargai hubungan itu.

“Walaupun mungkin nenek atau ibu kita sudah tiada, apabila kita melihat kain ini di pasar, kita akan terus teringat kepada mereka. Itu yang saya mahu orang rasa apabila melihat busana ini,” katanya.

Menariknya, kata Melinda, walaupun pada awalnya tukang jahit mereka menganggap rekaan itu antara yang paling sukar dan ‘buruk’ kerana menggunakan kain yang dianggap kain lap biasa, Aina menyifatkan busana itu sebagai antara rekaan terbaik pernah dihasilkannya.

“Daripada semua rekaan yang pernah kami buat bersama, ini adalah kegemaran saya. Tukang jahit saya pada awalnya kata ini antara baju paling teruk kerana dibuat daripada kain buruk.

“Tetapi selepas sesi fitting, saya beritahu mereka bahawa inilah dress terbaik. Akhirnya semua orang gembira kerana yang paling penting adalah keyakinan dan kepuasan terhadap hasil seni itu sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN