RANTAU PANJANG: Hasrat empat warga Indonesia untuk pulang ke negara asal melalui laluan tidak sah gagal apabila mereka dicekup anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di pangkalan haram Madrasah di sini hari ini.
Kesemua individu yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 31 hingga 40 tahun dicekup menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pada pukul 7.45 pagi
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Husain berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua pasport warganegara Indonesia itu telah tamat tempoh dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah berada di negeri ini.
“Siasatan awal mendapati mereka telah tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan selain tidak mempunyai rekod keluar masuk Malaysia melalui laluan yang diwartakan.
“Kesemua individu terbabit ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, hasil soal siasat mendapati suspek berusia 40 tahun memasuki Malaysia melalui Stulang, Johor pada 2012 dan bekerja sebagai buruh binaan di Klang Utama, Kuala Lumpur dengan upah RM95 sehari.
Katanya, suspek kedua berusia 31 tahun pula masuk ke negara ini melalui KLIA2 pada 2015 sebelum bekerja sebagai buruh binaan di Ipoh, Perak dengan bayaran RM85 sehari.
“Suspek ketiga memasuki Malaysia pada 2024 melalui Singapura sebelum bekerja sebagai buruh binaan, manakala wanita yang ditahan pula masuk ke negara ini melalui Senai, Johor pada tahun sama dan bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji RM1,500 sebulan,” ujarnya.
Ahmad Radzi berkata, siasatan turut mendapati kesemua mereka baru tiba dari Kuala Lumpur ke Kelantan dengan menaiki bas pada hari kejadian sebelum menuju ke Pengkalan Haram Madrasah.
“Kumpulan itu dipercayai merancang untuk keluar ke Thailand sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Surabaya, Indonesia melalui penerbangan dari Bangkok,” ujarnya.-UTUSAN










