KUALA LUMPUR: Arena bola sepak tempatan bakal menyaksikan pertembungan unik yang menggabungkan elemen sukan, hiburan dan kebajikan apabila Stadium Merdeka dipilih sebagai venue perlawanan amal.
Program dinamakan Mekdi All Stars Kick Off: Perlawanan Amal RMHC Malaysia itu dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini, bermula pukul 5 petang hingga 10 malam.
Perlawanan anjuran McDonald’s Malaysia tersebut menawarkan kemasukan percuma bagi menarik kehadiran ribuan peminat serta keluarga untuk memeriahkan suasana.
Sebagai tarikan, pihak penganjur turut menyediakan 10,000 set makanan percuma yang terdiri daripada Chicken McNuggets, minuman ringan dan pai epal buat para pengunjung.
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Datuk Melati Abdul Hai berkata, kutipan dana pada malam tersebut akan dipermudahkan menerusi penyediaan kod respon pantas (QR) sumbangan di seluruh kawasan stadium.

“Sama ada besar atau kecil nilai sumbangan yang diberikan, ia amat membantu modal program kebajikan kami dalam menyokong kanak-kanak memerlukan.
“Kami mahu orang ramai datang beramai-ramai membawa keluarga dan rakan untuk memeriahkan malam itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau menambah, dana yang dikumpul akan disalurkan untuk membiayai empat program utama termasuk Rumah Ronald McDonald, Bilik Terapi Sensori, serta Program Anugerah Senyuman.
Perlawanan itu bakal menampilkan pasukan Malaysia All Stars yang dibarisi legenda negara antaranya Tan Cheng Hoe, Faisal Halim, Safawi Rashid dan Amri Yahya.
Mereka bakal ditentang pasukan Mekdi All Stars yang diwakili selebriti popular seperti Meerqeen, Amir Ahnaf, MK K-Clique, Tuju K-Clique, Alvin Chong dan Luqman Podolski.
Selain aksi bola sepak, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti zon permainan, persembahan lagu serta ruangan vendor makanan. – UTUSAN










