KUALA LUMPUR: Kumpulan pop terkenal tanah air, The Fabulous Cats, kembali merancakkan industri muzik tempatan dengan pelancaran lagu raya terbaharu berjudul Satu Syawal menerusi kerjasama bersama Luncai Emas Sdn. Bhd.
Menariknya, lagu tersebut bukan sekadar karya raya biasa, sebaliknya mempunyai nilai sentimental yang mendalam kerana ia sebenarnya dihasilkan seawal tahun 2014 oleh anggota kumpulan berkenaan bersama komposer, Adeeb.
Menurut Cat yang mewakili kumpulan itu, lagu berkenaan menyimpan kenangan tersendiri memandangkan beberapa individu yang pernah terlibat dalam pembikinannya sudah tiada.
“Lagu ini sangat dekat di hati kami kerana ia turut melibatkan rakan seperjuangan seperti arwah Lok Yu, Kelly serta Abang Aji yang membantu sebagai ‘sessionist’ ketika proses rakaman dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu tersebut di Seeds Premier Hotel, Sri Petaling di sini, pada Khamis.
Tambahnya, Satu Syawal membawa mesej yang sangat dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini, khususnya mengenai kepentingan menghargai keluarga di sebalik kesibukan mengejar kerjaya.

Menurutnya, ada individu yang sering menangguhkan kepulangan ke kampung dengan alasan tertentu tanpa menyedari perasaan keluarga yang menanti.
“Kita sering dengar alasan seperti ‘tak apa, raya tahun depan aku balik’. Hakikatnya, masa tidak boleh dibeli dan tidak semestinya kita diberi peluang kedua,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelancaran lagu tersebut turut menandakan langkah baharu The Fabulous Cats untuk kembali aktif menghasilkan karya bagi peminat mereka.
Menariknya, lagu itu pada asalnya dihasilkan sebagai sebahagian daripada projek iklan raya bersama Bigworks Properties sebelum dikembangkan menjadi karya penuh yang kini dilancarkan secara rasmi.
“Bukanlah kami mahu kembali aktif secara keterlaluan, tetapi kami percaya kepada rezeki. Ruffedge masih aktif, Alyah juga ada projek solo dan Adeep pula sibuk di belakang tabir.
“Namun apabila ada peluang terbaik untuk kami berkarya semula bersama, mengapa tidak?” katanya.
Dengan melodi segar serta mesej kekeluargaan yang kuat, Satu Syawal diharap mampu menjadi antara lagu raya yang memberi kesan kepada peminat lama dan generasi baharu.
“Harapan saya, lagu ini dapat menguatkan kembali keserasian dalam The Fabulous Cats di samping mengekalkan ‘penjenamaan’ kumpulan ini dalam kalangan peminat,” katanya.
Majlis pelancaran tersebut dianjurkan oleh Beatus Live dengan sokongan rakan strategik termasuk Bigworks, Ruby F&B, Luncai Emas dan Loket MY.
Pengarah Beatus Live, Bella Dowanna berkata, projek berkenaan bukan sekadar pelancaran lagu raya, sebaliknya sebuah platform menghasilkan karya yang mempunyai nilai emosi serta penceritaan dekat dengan masyarakat.
“Kerjasama bersama The Fabulous Cats ini juga tidak terhenti di sini kerana kami sedang merancang beberapa projek istimewa yang akan diumumkan pada masa akan datang,” katanya.
Pada masa sama, pelancaran tersebut turut menjadi permulaan kepada kerjasama yang lebih besar termasuk kemungkinan penganjuran showcase atau konsert pada masa hadapan.
“Setiap penyanyi pastinya mengimpikan persembahan besar secara langsung, termasuk kami. Namun perancangan itu perlu dibuat dengan teliti dan bukan boleh dilakukan dalam masa singkat,” ujar Cat.
Lagu Satu Syawal kini boleh didengari di semua platform penstriman muzik manakala video muziknya turut menampilkan konsep teknologi Hybrid AI.










