PETALING JAYA: “Untuk kehamilan kedua ini, pakar sakit puan telah menilai dan mengesahkan bahawa badan saya telah sembuh dengan baik dan saya sihat dari segi perubatan untuk kehamilan kali kedua.”
Demikian kata pelakon, Datin Intan Najuwa mengulas mengenai jarak kehamilan keduanya yang mengundang pertikaian dalam kalangan netizen selepas setahun melahirkan anak sulungnya, Imane Lunara.
Menurut Intan, dia telah melalui proses pemulihan yang sangat ketat dan penuh teliti setelah melahirkan anak pertamanya secara pembedahan Caesarean (C-Section) pada Disember 2024z
“Proses pemulihan dan penjagaan saya dibuat secara serius, teliti dan sangat ketat. Kebiasaannya, ibu akan keluar wad selepas empat hingga lima hari tetapi saya terpaksa tinggal di wad selama dua minggu kerana suami saya mahu memastikan saya pulih sepenuhnya sebelum pulang ke rumah.
“Saya dipantau dengan teliti oleh pakar sakit puan, pasukan perubatan dan psikoterapi untuk pastikan luka saya sembuh dan pemulihan dalaman saya berjalan dengan baik.
“Pada masa itu, saya dipantau dengan teliti oleh gynae saya, pasukan perubatan dan ahli fisioterapi untuk memastikan penyembuhan luka dan pemulihan dalaman saya berjalan dengan baik,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Selain dijaga rapi selama tiga bulan berpantang, Intan mendedahkan dirinya mengamalkan gaya pemakanan yang sihat, serta melakukan senaman ringan setelah enam bulan melahirkan.
Pun begitu, Intan menyifatkan setiap wanita melalui proses penyembuhan selepas bersalin berbeza-beza malah, menasihatkan setiap individu untuk mendapatkan pandangan pakar perubatan terlebih dahulu.
“Tubuh setiap wanita adalah berbeza, dan pemulihan tidak sama untuk semua orang. Saya mengambil serius penjagaan selepas bersalin dan kesihatan saya dengan serius untuk memastikan badan saya bersedia.
“Saya percaya nasihat doktor saya, yang memahami keadaan perubatan saya. Anda lebih mengenali badan anda sendiri dan sentiasa penting untuk mendapatkan nasihat yang betul daripada doktor anda bukan daripada orang lain. Jika doktor mengesahkan bahawa anda cergas dan sihat, maka itu yang penting,” ujarnya.
Pada 26 Februari lalu, Intan menerusi sebuah perkongsian di Instagram mengumumkan dirinya bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.
Khabar gembira tersebut bagaimanapun mengundang pertikaian dalam kalangan kaum wanita yang mempersoalkan tahap kesihatannya selepas melahirkan anak pertama susulan jarak kehamilan yang sangat rapat.










