Semakin aktif menyuarakan pandangan di media sosial, khususnya di platform Threads, biduanita tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza tentunya tidak terlepas daripada menjadi perhatian warganet.
Perkembangan itu mengundang pelbagai reaksi ramai apatah lagi setiap perkongsiannya sering menjadi tular serta mencetuskan perdebatan.
Namun bagi penyanyi yang telah lebih tiga dekad mengukuhkan nama dalam industri seni tanah air ini, setiap kenyataan yang dibuat bukanlah sekadar untuk meraih perhatian, sebaliknya hadir daripada pengalaman panjang yang telah dilaluinya.
Menurut Siti, keaktifannya di media sosial bukan bermaksud dia mahu mengulas setiap perkara yang berlaku, sebaliknya hanya akan bersuara apabila dirasakan perlu.
“Tentang media sosial seperti Threads, sebenarnya saya bukanlah semua benda nak suarakan. Cuma kadang-kadang ada perlunya untuk saya bercakap sebab saya dah melalui pengalaman selama 30 tahun dalam industri.
‘Apa yang perlu saya suarakan, saya akan suarakan. Kalau saya tak suarakan, maknanya benda itu tidak menjadi satu kesalahan besar pada diri saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Sebagai figura awam yang sentiasa menjadi perhatian, Siti tidak dapat mengelak daripada menjadi topik perbualan ramai, sama ada berkaitan kerjaya, penampilan mahupun kehidupan peribadinya.
Bagaimanapun, Siti mengakui kini lebih tenang dalam berdepan pelbagai kritikan yang datang silih berganti.
“Itulah, kadang-kadang hendak buat macam mana. Saya pun dah macam ‘it’s okay’ sahaja. Menjadi Siti Nurhaliza ni, memang akan ada orang bercakap tentang diri saya. Tak kisahlah tentang baju, konsert, produk, apa sahaja yang berkaitan dengan saya, orang suka bercakap.
“Saya boleh menilai sendiri penulisan dan komen-komen itu. Kalau peminat saya, saya dah faham. Tapi kalau yang menulis sebaliknya, saya tahu dia bukan peminat saya, mungkin dia tidak bersetuju dengan banyak perkara tentang diri saya.
“Tapi tak apa, selagi saya masih boleh memberikan sesuatu yang positif kepada masyarakat dan peminat, saya akan teruskan,” ujarnya jujur.
Dalam masa sama, Siti tidak menafikan bahawa media sosial hari ini menjadi ruang terbuka untuk semua orang menyuarakan pandangan, namun dia mengingatkan agar batasan tidak dilangkaui sehingga menimbulkan fitnah.
“Tak apalah, itu memang normal dengan media sosial ini. Memang sudah jadi trend, semua orang suka untuk membuat pendapat masing-masing. Cuma jangan sampai jatuh fitnah. Memang dunia media sosial ini ada suka dan duka.
“Kalau kita menulis sampai jatuh fitnah yang boleh mendatangkan dosa kepada kita, itu sudah jadi kesalahan. Jadi kita kena cepat sedar. Bagi saya, hal begini tak nak fikir sangat,” ujarnya.

Sekolah di Gaza
Dalam pada itu, di sebalik kesibukan Ramadan serta pelbagai komitmen seni, Siti juga terus menzahirkan keprihatinan terhadap nasib rakyat Palestin apabila memberi tumpuan kepada perkembangan Sekolah Afwa Al Aafiyah di Gaza yang kini kembali beroperasi dalam keadaan serba sederhana.
Menurutnya, sekolah yang dibangunkan menerusi Yayasan Nurjiwa itu didirikan semula menggunakan khemah besar sebagai ruang pembelajaran sementara selepas bangunan asal musnah akibat serangan rejim Israel.
Katanya, wakil Yayasan Nurjiwa di Gaza, Dr. Mohanad Kullab telah mengambil inisiatif membangunkan semula sekolah berkenaan walaupun berdepan kekangan kemudahan.
“Sekolah kita sudah dibangunkan semula, namun dalam keadaan yang serba kekurangan. Anak-anak di sana juga sudah mula kembali ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Jiwa Prihatin 2025, di sini semalam.
Siti berkata, setiap kelas menempatkan lebih 10 pelajar dengan kemudahan asas seperti meja, karpet dan ruang berteduh disediakan bagi memastikan sesi pembelajaran dapat diteruskan walaupun dalam keadaan tidak sempurna.
“Walaupun apa yang dibina itu berkemungkinan musnah semula, kita tidak boleh berdiam diri. Kehidupan perlu diteruskan dan pendidikan anak-anak di sana mesti diutamakan.
“Kita juga sedang berusaha untuk membina struktur fizikal yang lebih kukuh. Saya berharap usaha ini dapat memberi semangat baharu kepada kanak-kanak yang terkesan akibat peperangan,” ujarnya.
Pada September tahun lalu, penyanyi tersohor negara itu meluahkan rasa sedih apabila sekolah yang menjadi tempat perlindungan dan pusat pendidikan kanak-kanak Palestin musnah dibedil bom.
Sekolah berkenaan yang dibangunkan sebelum tercetusnya konflik pada 2021 hasil ilham Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bertujuan memberi peluang pendidikan serta masa depan yang lebih baik kepada kanak-kanak di Gaza.











