PETALING JAYA: Genap seminggu pemergian anakanda tercinta, perkongsian pelakon, Amyza Aznan mengenai Allahyarham Andre Mikhail terus menuai perhatian warganet.
Meskipun sudah ikhlas dengan kehilangan tersebut, Amyza mengakui dirinya kini kalah bertarung dengan perasaan rindu yang mendalam terhadap anak sulungnya itu.
“Aku ikhlas, tapi aku rindu. Ramadan sudah di depan mata. Ya Allah, aku rindu wajah yang tidak bisa kutatap, senyum yang tidak bisa kulihat, dan aku rindu suara yang dulu sering aku dengar.
“Aku hanya rindu kepada orang yang Engkau panggil lebih dulu, Ya Allah,” katanya dalam Instagram Story (Igs).
Dalam masa sama, pelakon drama Rindu Kasih itu sempat memohon doa akan kesejahteraan arwah anaknya yang kini sudah berada di sisi Pencipta.
“Terangi kuburnya dan terimalah amal ibadahnya, Ya Allah,” tulisnya.
Pada Isnin lalu, Amyza memaklumkan anaknya, Andre Mikhail telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur selepas setahun berjuang melawan penyakit kanser paru-paru.










