KUALA LUMPUR : Bintang filem Hollywood kebanggaan negara, Michelle Yeoh, sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila bakal menerima penghormatan tertinggi industri hiburan antarabangsa menerusi pengabadian namanya di Hollywood Walk of Fame.
Pengiktirafan berprestij itu dijadualkan berlangsung pada 18 Februari ini, sekali gus menjadikan tarikh berkenaan lebih bermakna kerana jatuh pada hari kedua sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurut laporan majalah hiburan terkemuka, Variety, majlis anjuran Dewan Perniagaan Hollywood itu akan berlangsung pada jam 11.30 pagi waktu Pasifik. Peminat di tanah air pula boleh menyaksikan detik bersejarah tersebut pada jam 3.30 pagi, 19 Februari waktu Malaysia.
Penghormatan itu menjadi satu lagi mercu tanda gemilang dalam perjalanan seni anak kelahiran Ipoh, Perak berusia 63 tahun berkenaan, susulan kemenangan bersejarahnya sebagai Pelakon Wanita Terbaik di pentas Anugerah Akademi menerusi filem Everything Everywhere All at Once.
Sebelum ini, pada Jun 2023, namanya telah diumumkan sebagai antara penerima bintang Walk of Fame, sebaris dengan tokoh industri lain termasuk Presiden Marvel Studios, Kevin Feige, serta mendiang pelakon, Carl Weathers.
Sejak mencipta sejarah di pentas Oscar, karier Yeoh terus memuncak di persada global. Selepas mencuri perhatian menerusi filem pecah panggung 2025, Wicked: For Good, beliau bakal menggalas watak penting dalam francais epik arahan James Cameron menerusi Avatar 4 dan Avatar 5.
Tidak terhenti di situ, Yeoh turut membintangi siri terbitan Prime Video, Blade Runner 2099, selain menjalinkan kolaborasi dinanti-nantikan bersama pengarah tersohor, Sean Baker.
Menariknya, dalam filem pendek berjudul Sandiwara yang dirakam sepenuhnya menggunakan iPhone di sebuah pasar malam di Malaysia, Yeoh mempamerkan versatiliti luar biasa apabila membawakan lima watak berbeza.
Filem berkenaan dijadualkan mengadakan tayangan perdana dunia di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada 13 Februari ini, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai ikon seni bertaraf dunia.
Sesungguhnya, kejayaan demi kejayaan yang diraih Tan Sri Michelle Yeoh bukan sahaja menjadi kebanggaan industri perfileman tanah air, malah simbol keupayaan anak Malaysia menembusi tembok antarabangsa dengan penuh gemilang.










