KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara versatil, Didie Alias, tidak pernah berkecil hati dengan komen tajam segelintir warga maya yang mempersoalkan soal penghijrahannya, termasuk pertanyaan mengenai bila dirinya akan berhijab.
Menurut Didie atau Fadzilah Mohd. Ali, 54, dia sudah lali berdepan kecaman sedemikian dan memilih untuk tidak melayan komen melampau dengan mengambil tindakan menyekat akaun terlibat.
“Setiap kali saya buat siaran langsung, memang ada sahaja komen negatif. Ada yang masuk ‘live’ dan bercakap macam-macam, termasuk kata-kata kasar.
“Saya sudah biasa. Bagi saya mudah sahaja, kalau tak elok, saya sekat. Habis cerita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media program Puasa Tetap Puasa, Raya Tetap Raya di Studio M1, Angkasapuri Kota Media, di sini, semalam.
Bagaimanapun, ujar Didie, kecaman yang diterima kebanyakannya datang daripada individu luar, manakala anak-anak serta kenalan rapat sentiasa menjadi sumber kekuatan dan penyokong setianya.
“Baru-baru ini saya menjalani penggambaran untuk sebuah jenama fesyen. Anak-anak tengok dan mereka kata, ‘Cantiknya Mummy’. Dalam kumpulan WhatsApp pun mereka saling mendoakan saya.
“Bagi saya, doa daripada anak-anak itulah yang paling penting,” katanya lagi.
Mengulas soal penghijrahan diri, Didie menegaskan bukan dia tidak mahu bertudung, sebaliknya percaya segala-galanya tertakluk kepada ketentuan dan izin Allah SWT.
“Saya percaya semua yang berlaku dengan izin-Nya. Kalau suatu hari nanti Allah bukakan pintu hati saya ke arah itu, itulah rezeki. Segalanya sudah tertulis.
“Setiap hari saya berdoa dan minta anak-anak doakan saya juga. Mungkin masa saya akan tiba, cuma bila, saya sendiri tidak tahu. Insya-Allah,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Didie turut mengakui perlu sentiasa peka dengan perubahan landskap industri hiburan yang semakin dibanjiri bakat baharu.
“Sebagai pengacara, saya kena ambil tahu perkembangan semasa. Kadang-kadang ada bakat baharu yang muncul, tiba-tiba sudah popular dan saya tertanya-tanya siapa mereka.
“Tetapi saya bukan jenis suka ambil tahu hal peribadi orang. Kalau bukan urusan kerja, saya tak masuk campur. Saya tahu tanggungjawab saya.
“Bagi saya, penting untuk peka dengan persekitaran, tetapi bukan sampai menyibuk hal orang lain. Itu prinsip saya.
“Saya ikut peredaran zaman. Yang baik kita ambil, yang buruk kita tinggalkan. Dalam era digital ini, kita memang kena belajar, termasuk soal teknologi,” katanya.










