RAWANG: Bekas suami penyanyi Adira Suhaimi, Datuk Adnan Abu Bakar menegaskan permohonan lafaz rujuk yang difailkannya bukan kerana masih belum ‘move on’, sebaliknya bertujuan mendapatkan kepastian status perkahwinan mereka menurut hukum syarak.
Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red berkata, permohonan tersebut dibuat bagi memastikan lafaz rujuk yang dilakukan terhadap bekas isterinya pada Mei 2024 adalah sah atau sebaliknya.
“Ini bukan soal tak ‘move on’. Sekarang status saya dengan dia masih tergantung, sama ada saya masih suami orang atau tidak.
“Jadi saya failkan permohonan lafaz rujuk untuk memastikan lafaz yang dibuat itu sah.
“Kalau hakim kata lafaz rujuk itu sah, bermaksud saya masih lagi suami dia. Kalau tidak sah, masing-masing boleh membawa hala tuju sendiri,” katanya.
Adnan berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding lafaz rujuk di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di sini, pagi tadi.
Menurut Adnan, tindakan membawa perkara itu ke mahkamah dibuat bagi mengelakkan sebarang isu pada masa hadapan, khususnya berkaitan hukum dan dosa pahala.
“Saya tak nak perkara ini jadi isu kemudian hari. Kalau saya leka, soal dosa pahala ini saya yang akan tanggung.
“Saya sudah ada banyak dosa, jadi saya tak mahu tambah lagi. Kalau saya tak failkan permohonan ini dan tiba-tiba salah seorang nak berkahwin lain, itu akan jadi rumit.
“Ini bukan soal tak ‘move on’, tetapi berkaitan hukum,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengapa permohonan lafaz rujuk hanya difailkan selepas setahun bercerai, Adnan enggan mengulas lanjut dan meminta semua pihak menunggu tarikh perbicaraan.
“Itu kena tunggu 16 Februari kerana saya tak nak mengeruhkan lagi keadaan. Kita tunggu saja perbicaraan yang akan dilakukan secara tertutup nanti,” ujarnya.










