PETALING JAYA: Dalam kesibukan dunia hari ini, ramai antara kita tanpa sedar semakin jauh daripada insan yang paling dekat di hati.
Daripada renungan itulah lahirnya filem Mak #SalamDariSyurga, sebuah naskhah yang memilih kejujuran emosi sebagai kekuatannya, tanpa perlu bergantung kepada sensasi atau dramatik berlebihan.
Penerbit merangkap pelakon utama, Azman Ahmad menjelaskan filem ini tercetus daripada pemerhatian terhadap realiti kehidupan seharian yang jarang diberi ruang dalam filem arus perdana tempatan.
“Ramai antara kita hidup dalam kesibukan sehingga lupa menghargai perkara paling dekat. Filem ini cuba mengingatkan semula, tanpa mengajar atau menghukum,” katanya.
Lakonan Datuk Fauziah Nawi menjadi nadi emosi kepada keseluruhan penceritaan, disokong mantap oleh Azman Ahmad serta Izzy Reef, yang berjaya menghidupkan konflik dalaman seorang anak lelaki yang bergelut dengan masa silamnya.
Berbeza dengan kebanyakan filem yang berlumba-lumba mengejar klimaks, Mak #SalamDariSyurga memilih untuk bergerak perlahan dan berlapik. Setiap babak diberikan ruang bernafas, membiarkan emosi hadir satu demi satu, seolah-olah mengajak penonton mengingati kembali ibu masing-masing sama ada yang masih ada atau telah pergi.
Keputusan mengekalkan nada sederhana dan tidak sensasi dibuat secara sedar oleh pasukan produksi.

“Kami mahu penonton keluar dari pawagam dengan perasaan yang jujur. Jika ada yang terdiam, tersenyum atau menitiskan air mata, itu sudah cukup bagi kami,” ujarnya lagi.
Menyentuh memgenai pemilihan pelakon, Azman menegaskan pemilihan dilakukan dengan teliti bagi memastikan setiap watak memberi impak yang seimbang kepada penceritaan.
“Saya mahu Datuk Fauziah Nawi sebagai ‘mak’ kerana kredibiliti beliau tidak perlu dipertikaikan lagi.
“Selain itu, kehadiran pelakon berbakat seperti Izzy Reef, yang merupakan pemenang anugerah, memberikan keseimbangan kepada naskhah ini.
“Selain itu filem ini juga ingin beri peluang kepada ramai bakat baru yang berbakat. Ada antara mereka kali pertama berlakon filem, jadi saya ingin mencabar mereka dan ternyata setiap pelakon berjaya pamerkan aksi yang cemerlang,” katanya.
Lebih daripada sekadar kisah ibu dan anak, Mak #SalamDariSyurga mengangkat persoalan tentang penyesalan, peluang kedua dan makna pulang ke rumah sama ada secara fizikal atau emosi. Ia juga menjadi peringatan bahawa ada doa yang terus hidup, walaupun insan yang mendoakannya telah tiada.
Mengambil latar sebuah kampung di Kedah, filem ini mengisahkan Aman (Azman Ahmad) yang terperangkap dalam dilema apabila terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia yang diketuai oleh Edy (Megat Sharizal).

Keadaan menjadi semakin parah apabila Aman menjadi buruan pihak polis selepas satu serbuan di sempadan negara. Demi membersihkan namanya di mata ibunya, Nor (Datuk Fauziah Nawi), Aman memilih untuk bertahan hidup di dalam hutan selama berminggu-minggu demi pulang menemui ‘syurganya’.
Pengarah filem, Hj Hafis Nafiah, menyifatkan penggambaran naskhah ini sebagai satu cabaran besar, terutama apabila barisan pelakon dan kru perlu berkampung di dalam hutan bagi menjayakan babak-babak penting.
“Cabaran paling tinggi adalah apabila kita perlu menjalani penggambaran luar. Kami berkampung selama dua hari dua malam di dalam hutan hanya untuk menyiapkan satu babak demi memastikan kualiti visual yang terbaik,” katanya.
Hafis turut menzahirkan rasa puas hati terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh barisan pelakon yang terlibat.
“Buat masa ini saya berpuas hati. Apa yang boleh saya katakan sekarang, saya bangga dengan komitmen mereka untuk menjayakan filem ini,” katanya.
Diterbitkan oleh AA Success Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Awal Muzik, Mak #SalamDariSyurga akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Januari 2026.
Bagi penonton yang menghargai filem berteras nilai kekeluargaan dan penceritaan yang jujur, naskhah ini mungkin bukan sekadar tontonan hujun










