Kata pujian dan doa buat saya rasa dihargai - Elly Mazlein - Utusan Malaysia

Kata pujian dan doa buat saya rasa dihargai – Elly Mazlein

Elly Mazlein pada Jakel 4nomena Raya 2026 di Jakel Mall Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pengacara popular, Elly Mazlein mengakui tersentuh menerima pujian daripada pendakwah, Ustazah Asma Harun berhubung gaya pemakaian tudungnya yang menepati syariah Islam.

Elly atau mesra disapa Kak Lina, 45, berkata, pujian tersebut membawa makna besar buat dirinya dan disifatkan sebagai satu bentuk doa yang memberi kekuatan untuk terus memperbaiki diri ke arah menjadi Muslimah lebih baik.

“Apabila menerima pujian daripada seorang agamawan, saya berasa sangat terharu. Kata-kata pujian dan doa yang diberikan membuatkan saya rasa dihargai.

“Saya benar-benar bersyukur dan mengucapkan terima kasih. Bagi saya, kata-kata itu merupakan satu doa dan saya berazam untuk terus berusaha menjadi seorang Muslimah yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 yang berlangsung di Jakel Mall, di sini, semalam.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Terpendam itu turut mendedahkan menerima banyak kiriman mesej daripada peminat yang memuji gaya pemakaian tudung labuh digayakannya, selain ada yang meminta agar dia menghasilkan tutorial pemakaian.

“Ramai peminat menghantar mesej peribadi dan meluahkan rasa terinspirasi dengan gaya tudung yang saya gayakan.

“Mereka sudah dapat mengenal pasti ia sebagai gaya khas saya. Malah, ada yang meminta supaya saya menghasilkan tutorial pemakaian,” katanya.

Menurut Elly, dia melihat perkara tersebut sebagai satu tanggungjawab untuk memberikan contoh pemakaian yang baik kepada masyarakat.

“Tidak salah untuk memberikan contoh pemakaian yang baik untuk diikuti. Saya menganggapnya sebagai satu amanah dan bersyukur atas sokongan yang diterima,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Elly sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Ustazah Asma Harun atas kata-kata yang disifatkan sangat bermakna dan memberi dorongan kepadanya untuk terus menjadi insan yang lebih baik.

Terdahulu, Ustazah Asma Harun mengulas penampilan terbaharu Elly yang dilihat berhijrah ke arah perubahan positif, sekali gus menyentuh hati ramai pihak.

Beliau berharap penghijrahan Elly dapat menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk mendekatkan diri kepada agama serta tidak bertangguh dalam melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN