Forest rebah di City Ground, Midtjylland curi kemenangan saat akhir

Forest rebah di City Ground, Midtjylland curi kemenangan saat akhir

KEKALAHAN tersebut menyaksikan Forest sekali lagi tersungkur kepada kelab Denmark itu selepas tewas 2-3 pada peringkat kumpulan, Oktober lalu.-FB NOTTINGHAM FOREST
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NOTTINGHAM: Nottingham Forest menerima tamparan hebat selepas tewas 0-1 kepada wakil Denmark, Midtjylland pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Europa di City Ground, awal pagi tadi.

Gol lewat Cho Gue Sung pada minit ke-88 memusnahkan segala usaha tuan rumah yang sebelum itu lebih banyak menguasai permainan dan mencipta peluang.

Kekalahan tersebut menyaksikan Forest sekali lagi tersungkur kepada kelab Denmark itu selepas tewas 2-3 pada peringkat kumpulan, Oktober lalu.

Keputusan berkenaan turut meletakkan pasukan bimbingan Vitor Pereira dalam situasi sukar menjelang aksi timbal balik pada 19 Mac, apabila mereka perlu mencipta kemenangan di Denmark untuk memastikan peluang mara ke suku akhir terus hidup.

Sepanjang perlawanan, Forest sebenarnya tampil lebih agresif dengan beberapa peluang terbaik hampir membuka jaringan.

Percubaan jarak jauh Omari Hutchinson dari luar kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol Midtjylland, Elias Rafn Olafsson.

Elliot Anderson turut menguji kecekalan Olafsson menerusi rembatan lencong yang memaksa penjaga gol itu melakukan satu lagi aksi menyelamat cemerlang.

Forest hampir di depan apabila situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol Midtjylland hampir menghasilkan gol sendiri, namun Philip Billing bertindak pantas menanduk keluar bola di atas garisan.

Bagaimanapun, rentak tuan rumah mula merosot memasuki 10 minit terakhir permainan ketika hujan lebat, sekali gus mencetuskan sorakan sinis penyokong yang kecewa.

Kesempatan itu dimanfaatkan Midtjylland apabila hantaran lintang Ousmane Diao berjaya disudahkan Cho Gue Sung menerusi tandukan jarak dekat untuk menewaskan penjaga gol Forest, Matz Sels.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN