PETALING JAYA: Penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil meraih perhatian ramai selepas dirinya menyantuni sekumpulan pelajar sekolah ketika berada di sebuah restoran.
Menerusi perkongsian di Instagram, Biduanita Negara memaklumkan dia tidak menyangka kumpulan pelajar tersebut terlalu teruja melihatnya bahkan sanggup mengoyakkan buku sekolah demi mendapatkan tandatangannya.
“Awalnya intai-intai dari jauh. Ingatkan sekadar tengok Datuk Seri Siti Nurhaliza makan. Sekali rupanya nak minta tandatangan. Buku koyak pun tak apa ya. Comel betul adik-adik ini,” katanya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Kesuma itu turut menitipkan pesan kepada peminat-peminat cilik tersebut supaya belajar dengan cemerlang dalam pelajaran dan membanggakan keluarga tercinta.
“Belajar rajin-rajin ya, semoga berjaya dan membanggakan keluarga,” ujarnya.
Lebih mencuri perhatian, Siti bukan sekadar mesra melayan kerenah pelajar sekolah tersebut dengan bergambar malah, sanggup mengeluarkan modal untuk belanja mereka makan di restoran tersebut.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung menuai pelbagai respons dalam kalangan warganet yang rata-ratanya kagum dengan sikap ramah Siti menyantuni peminatnya dari pelbagai generasi.
Bahkan, ada yang menganggap Biduanita Negara itu akan tetap disayangi ramai golongan dari pelbagai generasi kerana sikap merendah dirinya.
“Siti ada peminat Gen Alpha. Semua generasi Siti tapau,” komen seorang pengguna media sosial.
“Sebab inilah Datuk Seri Siti Nurhaliza seorang Biduanita Negara. Impak karier seni yang melintasi generasi, ampuh kekal ke hari ini dan karyanya kekal berjalan seiring masa,” kata peminatnya.










