PENTAS drama Korea Selatan (K-drama) pada tahun ini dijangka lebih meriah dengan sajian naskhah-naskhah yang diramalkan berpotensi mencipta fenomena.
Selain kepelbagaian genre, rindu peminat juga terubat dengan kemunculan semula pelakon-pelakon kesayangan mereka seperti IU, Gong Yoo dan ramai lagi. Berikut empat naskhah yang dijangka meledak tahun ini.

PERFECT CROWN
Sebuah drama arahan Park Joon-hwa yang menjadi antara naskhah paling dinantikan lebih-lebih lagi selepas tarikh tayangan asalnya tahun lalu, ditunda kepada April tahun ini.
Perfect Crown menceritakan tentang rumah tangga yang dibina hasil perkahwinan kontrak seorang perempuan dengan putera raja.
Drama ini juga menjadi naskhah kedua yang menggandingkan IU dan Byeon Woo-Seok sebagai teraju utama selepas keduanya membintangi drama Moon Lovers: Scarlet Heart Ryeo pada 2016.

THE REMARRIED EMPRESS
Dibintangi Shin Min-ah, Ju Ji-hoon, Lee Jong-suk dan Le See-young, The Remarried Empress mengisahkan tentang pembalasan dendam seorang permaisuri yang menuntut perceraian terhadap suami yang berlaku curang.
Drama bersiri fantasi romantik ini diarahkan sutradara berkaliber, Jo Soo-won, dijangka ditayangkan menerusi platform Disney + pertengahan tahun ini.

SHOW BUSINESS
Berlatarkan antara tahun 1960 hingga 1980, Show Business, yang ditulis Noh Hee-kyung menceritakan tentang cabaran yang dihadapi dua sekawan ketika era perkembangan dan evolusi industri muzik Korea Selatan.
Selain jalan cerita, drama ini dikatakan berpotensi mencipta fenomena kerana pembabitan pelakon-pelakon senarai A seperti Song Hye-Kyo dan Gong Yo.
Ditayangkan di Netflix, Show Business yang diarahkan Lee Yoon-Jung dijangka menemui penonton tahun ini.

MADE IN KOREA
Susulan kejayaan musim pertama tahun lalu, Made In Korea kembali dengan plot lebih mendebarkan untuk musim kedua tahun ini.
Kekal menampilkan Hyun Bin selaku teraju utama, musim kedua drama ini dijangka ditayangkan menerusi platform Disney +, penghujung 2026.










