Bukan edar kad kahwin - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Bukan edar kad kahwin – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dakwaan kononnya beliau telah mengedarkan kad undangan perkahwinan bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Syed Saddiq, 33, berkata, video viral yang memaparkan beliau menyerahkan sesuatu ketika berada di Parlimen disalah tafsir apabila ia bukanlah kad undangan perkahwinan, sebaliknya merupakan permohonan rasmi bagi pihak rakyat Muar.

“Saya ingin bercakap secara jujur. Kad yang disampaikan di Parlimen itu sebenarnya adalah permohonan saya mewakili rakyat Muar kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Itu adalah tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat untuk menyampaikan perkara tersebut kepada kepimpinan negara,” katanya ketika ditemui pada majlis The Raya Table by Dr Cardin, semalam.

Mengulas lanjut mengenai spekulasi perkahwinannya, Syed Saddiq berkata, sekiranya kad undangan perkahwinan benar-benar wujud suatu hari nanti, perkara itu tidak akan disembunyikan.

“Kalau betul ada kad undangan perkahwinan, semua orang akan tahu. Jangan risau, waktunya akan tiba. Perkara ini bukan sesuatu yang baharu bagi saya dan wanita istimewa, Bella.

“Saya sentiasa minta didoakan kerana dia sangat penting dalam hidup saya. Insya-Allah tahun ini akan menjadi tahun yang bermakna dan istimewa,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq turut berkongsi keterlibatannya dalam pertunjukan fesyen jenama kasut tempatan, Dr Cardin yang disertainya buat kali keempat.

“Saya hadir untuk memberikan sokongan kepada Dr Cardin. Ini pembabitan saya yang keempat dan kali ini saya mempromosikan sandal lelaki sempena koleksi Aidilfitri.

“Saya kagum dengan evolusi jenama ini yang dahulunya sinonim dengan golongan lebih berusia, namun kini tampil dengan imej lebih muda dan segar,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas peluang yang diterima hasil penglibatannya bersama pelbagai jenama, yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada penduduk Muar.

“Alhamdulillah, tahun lalu sahaja saya berjaya menyumbangkan RM4.5 juta kepada Parlimen Muar meliputi bantuan makanan, komputer riba, biasiswa pendidikan dan pelbagai inisiatif lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN