PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad berkongsi rasa gementar untuk melahirkan cahaya mata ketiga secara pembedahan tidak lama lagi.
Menurut Uyaina, dirinya tidak dapat menggambarkan rasa takut untuk bersalin meskipun pernah menjalani prosedur yang sama selain menyerahkan segalanya pada aturan Sang Pencipta.
“Akan menjalani pembedahan kali ketiga untuk melahirkan anak ketiga. Perasaan? Takut. Takut yang tak boleh nak ungkapkan. Serah diri untuk berserah pasrah,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram, sebentar tadi.
Dalam masa sama, bekas pengacara Wanita Hari Ini itu turut meluahkan kebimbangannya sekiranya usianya masih panjang selepas melahirkan cahaya mata ketiganya.
“Adakah akan terus hidup? Atau nyawa berganti? Tiga kali dibedah di tempat yang sama. Tiga kali tujuh lapisan kulit dipotong. Dan tiga kali juga aku belajar tentang erti tawakkal yang sebenar.
“Belajar untuk bersimpuh pada ketentuan-Nya, Dan belajar untuk melabuhkan doa tanpa henti. Takut adalah penyataan yang meremehkan,” jelasnya.
Menerusi hantaran tersebut, Uyaina turut berkongsi video memaparkan dirinya sudah berada di sebuah hospital untuk melahirkan anak ketiga.
Uyaina bagaimanapun berharap segala urusannya untuk melahirkan dipermudahkan selain memohon kepada orang ramai untuk mendoakannya.
“Aku cuma berharap Allah beri kekuatan dan menghapuskan rasa takut ini. Semoga kegusaran ini digantikan dengan berita yang menggembirakan.
Mohon doa yang baik-baik dari kalian semua,” katanya.
Terdahulu, Uyaina mengumumkan dirinya hamil cahaya mata ketiga namun, lebih selesa untuk tidak mengetahui jantina anaknya terlebih dahulu.
Untuk info, Uyaina telah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Raja Syahiran pada 21 Disember 2021.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Raja Urhan dan Raja Urayyan










