Isu video ‘gender reveal’, Zeera Aziz pertahankan adik - Utusan Malaysia

Isu video ‘gender reveal’, Zeera Aziz pertahankan adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zeera Aziz tampil mempertahankan penyampai radio Rakita, Neera Aziz, susulan kecaman bertubi-tubi yang dilemparkan warganet terhadap adiknya itu dan suami yang juga merupakan seorang mutawwif.

Zeera berkata, sebagai kakak, dia tidak sanggup berdiam diri apabila adiknya terus dihina seolah-olah tidak pernah melakukan kebaikan, sedangkan hakikatnya Neera banyak berjasa kepada keluarga.

“Sebagai kakak, mana mungkin saya nak diamkan diri. Keberadaan saya di tanah suci ini juga atas rezeki adik saya yang membayar kami sekeluarga ke sini tanpa meminta satu sen pun.

“Dan ini bukan kali pertama dia belanja kami sekeluarga. sudah dua kali saya pergi mengerjakan umrah bersama keluarga saya atas perbelanjaan penuh dari dia.

“Manakala ibu dan bapa saya pula, telah tiga kali ke tanah suci dgn tanggungan penuh dari adik saya. Kalau kalian mengeji dia itu dia ini, sekurang kurangnya sebagai seorang anak dan adik, dia dah melakukan kebaikan dan pahala yang sangat besar utk kami sekeluarga,”katanya di Threads.

Mengulas isu yang mencetuskan kontroversi, Zeera mengakui apa yang berlaku adalah satu kekhilafan, namun menegaskan ia bukan dilakukan dengan niat sengaja atau demi meraih perhatian.

“Benar, apa yang terjadi itu salah. Tapi ia bukan untuk ‘for the sake of content’. Mereka hanya ingin berkongsi kebahagiaan kerana dipertemukan di kota suci,” jelasnya.

Zeera turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu cepat menghukum, apatah lagi sehingga ada yang mendesak agar adik iparnya dibuang kerja sebagai mutawwif.

“Tak kiralah mutawwif ke ustaz ke dai ke pencetus umah ke semua hanya manusia yang tak akan terlepas dari dosa dan khilaf. Tapi sekurangnya mereka berdosa dgn tuhan, mereka sudah meminta ampun kepada-Nya. Tapi kalian?

“Kalian rasa kalian tak pernah berbuat dosa ke? Sampai ada yang suruh adik ipar saya dibuang kerja kerana tak layak menjadi seorang mutawwif. Kalau begitu, adakah bila kalian melakukan dosa, maksiat dan lain lain, Tuhan mendesak kalian untuk murtad? Setiap hari pintu taubat itu dibuka. Sebab Tuhan itu maha pengampun.

“Jadi siapa kita utk menutup periuk nasi seseorang? Kekhilafan itu blh berlaku dkt sesiapa sahaja di muka bumi ini tak kira kau ahli ulama sekalipun. Sebab apa? Sebab kita bukan Nabi. Jadi setiap kesalahan yg terjadi, jadikan iktibar bukannya jadi kan konten untuk mencerca sana sini,”katanya.

Dalam pada itu,Zeera turut menyuarakan rasa bangga terhadap adiknya yang disifatkan berhati mulia serta adik iparnya yang walaupun masih muda, banyak berkongsi ilmu.

“Mereka masih muda dan masih banyak yang perlu dipelajari untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik,” katanya.

Selain itu, Zeera juga menyeru semua pihak agar berhenti menyebarkan kebencian dan bersama-sama memperbaiki diri.

“Kita semua insan penuh dosa. Berhentilah mencerca dan perbaikilah akhlak serta ibadah masing-masing. Saya doakan semua yang membaca ini akan dijemput ke tanah suci suatu hari nanti,” katanya.

Terdahulu, video pendek yang dikongsikan Neera menerusi platform sama menyorot perhatian ramai apabila penyampai radio itu dan suaminya melakukan ‘Gender Reveal’ dihadapan Kaabah.

Tindakan tersebut sekali gus mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen yang menganggap pasangan suami isteri sepatutnya menjaga adab dan bukannya ‘mengambil kesempatan’ merakam video tersebut di sana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN