KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan pencipta kandungan popular, Sofyank tampil memberikan kenyataan balas selepas menerima kritikan berhubung penghasilan dua video kandungan pelancongan yang mempromosikan negara jiran, Singapura baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan video di Instagram, Sofyank menjelaskan bahawa penghasilan video tersebut merupakan hasil perancangan yang telah lama diimpikannya, khususnya dalam menghasilkan kandungan berkonsepkan sinematik berunsurkan kesan visual khas (VFX).
Menurut Sofyank, peluang untuk ke Singapura dimanfaatkan sepenuhnya dengan kerjasama rakan pencipta kandungan, Mshaffuan serta beberapa rakan lain bagi menghasilkan sebuah video travel yang menggabungkan elemen sinematik dan VFX.
“Kami menggunakan konsep ‘run and gun’, iaitu kaedah penggambaran yang bergerak pantas dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mendapatkan sebanyak mungkin sudut menarik untuk dimuatkan dalam video,” katanya.
Bagi melancarkan proses penggambaran, Sofyank memaklumkan dia dan rakan kongsinya telah membuat tinjauan awal ke Singapura bagi mendapatkan sudut rujukan.
Malah, mereka turut dibantu oleh rakan tempatan dari Singapura yang membawa mereka ke beberapa lokasi menarik untuk proses rakaman.
Walau bagaimanapun, Sofyank mengakui ramai yang mempersoalkan mengapa kandungan tersebut tidak dihasilkan di Malaysia.
Menjawab persoalan itu, dia menegaskan rasa bangga sebagai anak Malaysia tidak pernah pudar.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana anda semua memahami perjuangan utama di sebalik penghasilan video travel ini. Anda juga memahami tugasan serta kerjaya saya sebagai seorang pencipta kandungan automotif.
“Tiada balasan lain yang mampu saya berikan selain ucapan terima kasih kerana anda semua telah menyokong video saya sejak dari awal sehingga sekarang.
“Kepada yang bertanya mengapa saya tidak membuat video tersebut di Malaysia, semestinya saya sangat berbangga dilahirkan di Malaysia. Saya bangga menjadi anak Malaysia, dan perjalanan hidup saya sejak dahulu hingga sekarang sentiasa diiringi oleh sokongan rakyat Malaysia.
“Terima kasih yang tidak terhingga. Sekiranya saya diberi peluang dan ruang, saya akan melakukan yang terbaik untuk Malaysia, insya-Allah.
“Saya sangat berbangga dilahirkan di Malaysia dan segala perjalanan kerjaya saya hingga ke hari ini sentiasa diiringi sokongan rakyat Malaysia,”katanya.
Terdahulu, Sofyank terpalit dengan kritikan warganet yang mencetuskan perbincangan hangat di media sosial apabila segelintir pihak mempersoalkan tindakannya memberi keutamaan mempromosikan destinasi luar negara berbanding di dalam negara.










