KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh media sosial, Mek Yun, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan dangkal seorang pempengaruh lelaki yang mendakwa tugas wanita hanya mengemas rumah dan ‘kangkang’ untuk suami.
Mek Yun menegaskan bahawa pandangan seperti itu bukan sahaja menghina kaum wanita, malah menjadi punca hilangnya rasa hormat sebahagian besar wanita terhadap lelaki.
“Mak Yun dah lama perhati awak ini. Jadi hari ini izinkan Mak Yun masukkan akal yang lebih stabil daripada ego awak itu. Lelaki dengan mentaliti macam dia ini lah punca kenapa ramai perempuan hilang rasa hormat dekat lelaki.
“Perempuan tugasnya hanya kemas rumah dan kangkang? Awak hidup zaman bila, adik?” katanya dalam satu hantaran video di Instagram.
Menurut pelakon filem Hantu Mok Joh ini, wanita hari ini bukan lagi terikat dengan stereotaip lapuk kerana mereka mampu berdikari dan memainkan pelbagai peranan dalam keluarga serta masyarakat.
“Perempuan hari ini mampu membina kerjaya sendiri, menguruskan keluarga, menyumbang kepada ekonomi rumah, menjaga emosi dan mental anak serta suami.
“Malah masih mampu menjaga diri mereka sendiri. Tolonglah, perempuan hari ini bukan bayang-bayang lelaki,”katanya.
Selain itu, Mek Yun turut menolak tanggapan bahawa lelaki yang membantu kerja rumah dianggap lemah.
Malah, dia turut menegaskan bahawa sikap seperti itu mencerminkan kematangan dalam perkahwinan.
“Dan lelaki tukar lampin setiap hari itu dianggap pemalas? Itu lelaki dan suami yang bertanggungjawab. Lelaki matang yang faham perkahwinan itu satu usaha sama,”katanya.
Dalam pada itu, Mek Yun turut memberi peringatan keras kepada mana-mana lelaki yang masih berpegang pada mentaliti merendahkan wanita.
“Perempuan bukan pengemas rumah dan kangkang sahaja. Perempuan bukan objek dan bukan hamba.
“Lelaki yang berfikiran macam tu itu bukan lelaki sejati, itu bukan pemimpin. Itu definisi lelaki yang tidak yakin diri dan takut wanita lebih hebat daripada ego mereka sendiri.
“Hentikan menanam mentaliti dan menormalisasikan idea yang merendahkan kaum wanita. Tolonglah, kami perempuan tidak akan memilih lelaki yang mempunyai mentaliti sebegitu,”katanya.
Terdahulu, menerusi sebuah platform audio siar, seorang pempengaruh kontroversi melabel kaum wanita bergelar isteri hanya melakukan tugas mengemas rumah dan melayan suami sahaja.
Kenyataan itu kemudiannya mengundang reaksi pelbagai daripada warganet.









